Ahad, 5 Februari 2012

Sambutan Maulidur Rasul

           Telah berlaku  satu kegoncangan yang maha dahsyat di mahligai Kisra sehingga mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Tenggelam Tasik Sava  ke dalam tanah. Terpadam api Majusi di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun.  Itulah petanda lahir seorang insan agung bagaikan cahaya yang menyuluh alam gelap gelita. Lahirnya kekasih Allah yang membawa rahmat kepada manusia dan sekalian alam.
              12 Rabiul Awal bersamaan  20 April 571 masihi Tahun Gajah. Lahirlah seorang insan mulia yang membawa perubahan besar kepada sekalian alam. Membimbing manusia ke jalan Islam, Jalan Kebenaran. Dan sebagai seorang yang dilahirkan dalam agama Islam. Sesungguhnya kita amat-amat bersyukur dan Nabi Muhammad S.A.W. sesungguhnya seorang role model kepada  kita dan setiap umat Islam.

Kerjasama kaum ibu dalam penyediaan
jamuan sambutan Maulidur Rasul

FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati Allah (pada masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Walaupun hidup di zaman selepas ketiadaan baginda Rasullullah namun ajaran dan sunahnya mendekatkan kita kepada insan agung ini. Bagi meraikan hari kelahiran baginda Junjungan Besar  Rasulullah. S.A.W., Biro Agama dan Dakwah Kg. Sisik Lantai telah mengadakan program Sambutan Maulidur Rasul pada malam Sabtu 04/02/2012 bertempat di Surau Kampung Sisik Lantai.


Jutaan terima kasih kepada Pak Cik Lan (Mazlan Hashim)
kerana sudi membantu menyediakan jamuan 
'terima kasih daun keladi'

Antara aturcara pengisian program tersebut bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan yassin serta tahlil. Kemudian selepas solat Isyak diteruskan dengan selawat dan juga nyanyian nasyid yang diketuai sendiri oleh Timbalan Pengerusi Biro Agama  iaitu En. Khairul Anuar. Manakala Marhaban yang diketuai oleh En. Hamid bin Jusoh merupakan acara kemuncak sambutan yang di adakan ini.

Bacaan Yassin dan tahlil diketuai
Hj. Din bin Daud



Marhaban

Terdapat satu riwayat bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Al-Rasyid, terdapat seorang pemuda di Basrah yang buruk  perangainya. Oleh kerana itu penduduk Basrah memandang keji kepada dia. Tetapi, apabila masuk bulan Rabiul Awal,  pemuda tersebut membersihkan pakaiannya, memakai wangi-wangian dan pakaian yang cantik serta mengadakan kenduri kerana menyambut maulid Nabi.
Setiap tahun dia melakukan perkara yang sama setiap kali tibanya Rabiul Awal sehinggalah ke akhir hayatnya. Setelah ia meninggal dunia, maka penduduk Basrah mendengar satu suara yang berkata ” Pergilah wahai penduduk Basrah dan saksikanlah jenazah seorang wali dari kalangan wali Allah ini kerana ia merupakan seorang yang mulia di sisi-Ku,”. Maka penduduk Basrah pun pergi menziarahi jenazahnya dan mengkebumikannya.
            Pada malamnya, mereka bermimpi melihat pemuda tersebut dipakaikan dengan pakaian sutera yang amat bernilai. Lalu beliau ditanya “Dengan apakah kamu mencapai kemuliaan ini?” Jawabnya ” Dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah saw.”
           Pengajaran yang kita perolehi daripada cerita tersebut sesungguhnya peranan yang kita mainkan dalam meraikan hari maulid Nabi  baik dari segi  sumbangan tenaga, wang ringgit  pasti akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah s.w.t. ini kerana Nabi Muhammad S.A.W merupakan kekasih Allah dan orang-orang yang meraikan kekasih Allah pasti akan diraikan oleh Allah S.W.T.















'Jutaan terima kasih kepada semua yang membantu
menjayakan program sambutan Maulidur Rasul ini 
baik dari sumbangan berbentuk kewangan dan juga
sumbangan berbentuk tenaga'
- Tn. Hj. Almunawar bin Md. Noor
Pengerusi Biro Agama Dan Dakwah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan