Selasa, 7 Februari 2012

Gotong Royong Sempena Sambutan Maulidur Rasul


"Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara-perkara kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan." (al-Maidah: 2)
Dalam ayat al-Quran di atas jelas bahawa kerjasama antara jiran itu amat penting untuk melahirkan suatu masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Antara jiran tetangga hendaklah saling hormat-menghormati, tolong menolong dan ianya adalah merupakan sebahagian keperibadian mulia Rasulullah s.a.w. yang sentiasa mengamalkan semangat permuafakatan sesama saudara seagama.          
Kalau kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w., kerjasama antara jiran khususnya dan antara umat Islam amnya adalah sangat erat  bukan sahaja pertolongan berbentuk tenaga malah mereka sanggup menyerahkan segala harta kekayaan mereka untuk jihad di jalan Allah dan membentuk sebuah masyarakat Islam yang benar-benar bersatu padu, Semangat ini berkat hasil yang diterapkan oleh Rasulullah s.a.w.
Bagi menterjemahkan salah satu keperibadian Rasulullah s.a.w, sempena Sambutan Maulidur Rasul Biro Kebajikan dan Pengindahan Desa telah menganjurkan satu ‘Gotong-Royong Membersihkan Perkarangan Rumah Warga Emas Tertua Sisik Lantai’ iaitu rumah Umai Taha atau lebih dikenali sebagai Tok Umai yang umurnya hampir mencecah 100 tahun.






Program ini diadakan pada 05 Februari 2012 bersempena dengan hari Maulidur Rasul bermula jam 8.30 pagi.  Ianya dianjurkan atas kesedaran dan rasa tanggungjawab sosial bagi membersihkan perkarangan rumah Tok Umai seorang warga emas yang terlantar sakit dan dijagai oleh anak perempuannya  Halijah.
Pembersihan dilakukan bermula di halaman hinggalah kawasan sekeliling rumah dengan kerjasama dan kesudian penduduk kampung yang  turun beramai-ramai membawa peralatan seperti mesin pemotong rumput, pisang penebas, sabit dan sebagainya.















Kaum wanita juga turut  memainkan peranan dengan menyediakan  makan tengahari berupa gulai pisang ikan bilis bersama ikan tamban goreng di sulami dengan ulam-ulaman kampung seperti pucuk beka. Semua ini begitu membangkitkan selera apabila sekali-sekala bekerja dan berkumpul sama-sama menikmati juadah sedemkian yang jarang-jarang kedapatan sekarang ini membuatkan berkali bertambah nasi.




Chu Lijah (Gambar kiri) yang tinggal
dan menjaga ibunya Tok Umai

Dalam  majlis ini juga Puteri Umno turut berkunjung dan memberikan hamper berupa barangan makanan harian kepada Halijah ataupun Chu Lijah. Walaupun pemberian tidak seberapa tetapi keperihatinan dan perhatian yang ditunjukkan oleh Puteri Umno diucapkan jutaan terima kasih.


Tok Umai yang sakit terlantar


Keperihatinan Puteri Umno datang menziarah
dan memberikan hamper barangan makanan

Kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh penduduk kampung bersesuaian dengan perpatah ‘ bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.  Sebagai penduduk kampung sewajarnya kita mengambil berat dan perihatin serta saling bantu membantu sesama penduduk terutama kepada mereka-mereka yang perlukan pertolongan kita semua. Dan program seperti ini akan diteruskan dan rumah-rumah lain akan dikenal pasti untuk dilaksanakan gotong royong seperti hari ini. Tumpuan khusus akan diberikan kepada rumah-rumah orang tua dan ibu tunggal, menurut  Biro Kebajikan dan Pengindahan Desa En. Aziz bin Samijo.


Aziz bin Samijo
Biro Kebajikan Dan Pengindahan Desa
Kampung Sisik Lantai.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan