Rabu, 8 Februari 2012

Kampung Sisik Lantai : Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian I)


Sisik Lantai nama kampung aku. Kampung aku yang tercinta. Ada yang tertawa, ada yang tertanya. Kenapa Sisik Lantai diberi nama. Bagi kami anak-anak Sisik Lantai tiada yang lucunya, tiada yang janggal pada nama  Sisik Lantai yang tercatat pada surat beranak dan kad pengenalan kami. Bagi orang lain tentu terasa agak pelik. Terutamanya orang-orang yang luar dari kawasan Kuala Ketil.

            Kenapa Sisik Lantai?. Aku sendiri pun tak tahu apakah jawapan yang hendak diberikan kepada si yang bertanya. Setiap sesuatu pasti ada susur galur ceritanya bagi membolehkan ianya mendapat gelaran atau nama. Puas di risik, puas ditanya kepada golongan tua. Jawapan di diterima berbeza-beza.

            Dahulunya Sisik Lantai dikenali sebagai Ujung Tanjung. Panggilan itu mungkin disebabkan kedudukan kampong yang membujur dilengkungi sungai membentuk bagaikan satu tanjung. Ujung Tanjung bagi aku nama yang cukup baik dan sedap di dengar. Tak dapat nak di pastikan pula aku setakat mana nama itu diguna pakai.  setakat generasi Tok wan aku ataupun mungkin Tok Nek aku itu sukar dipastikan.  

Aku juga tertanya kenapa nama Ujung Tanjung tidak dikekalkan. Kenapa pula perlahan-lahan nama Ujung Tanjung berubah menjadi Sisik Lantai. Tapi bagi golongan tua nama Ujung Tanjung masih tetap digunasebut. Tiba ke generasi aku tiada lagi kedengaran Ujung Tanjung  yang rasmi di dengar ialah Sisik Lantai.

            Khabarnya Sisik Lantai diberi nama kerana kampong ini sentiasa di tenggelami banjir. Banjir besar saban tahun berlaku akibat limpahan air sungai. Tidak ada satu benda yang tidak tenggelam.  Keseluruhan kampong. Malah banjir menenggelamkan keseluruhan lantai rumah. Apabila air surut ianya meninggalkan kesan lumpur pada lantai papan dan apabila kesan lumpur itu kering kelihatan seakan-akan bersisik. Dari situ muncullah nama Sisik Lantai. Namun itu cuma agakkan aku saja. Asal usul kampung ini mendapat nama memang tak dapat nak aku jejaki.

 Bukan aku saja, Kalau di tanya pada anak-anak kampong Sisik Lantai yang lain bagaimana kampong Sisik Lantai mendapat nama, pasti tak seorang pun yang dapat memberi jawapannya. Ini kerana rata-ratanya tak terfikir dan tak pernah untuk mengambil tahu semua itu.  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan