Ahad, 12 Februari 2012

Sumbangan artikel dan gambar-gambar

            Assalammualaikum..sesiapa yang mempunyai idea dalam bentuk artikel atau cadangan, hebahan, pemberitahuan, gambar-gambar, coretan kenangan manis, kenangan pahit di sisik lantai bolehlah emailkan ke sisiklantai@gmail.com insyaallah ianya akan dimasukkan dalam blog sisik lantai ini. tetapi diharapkan segala sumbangan itu semuanya berkisar kepada Kampung Sisik Lantai. Anak sisik lantai di perantauan yang ada idea dan sumbangan artikel di alu-alukan. sama-samalah kita luahkan rasa bangga kita pada kampung kita tercinta.



Skuad Kawalan Keselamatan / Cegah Jenayah Sisik Lantai / Kubang Hong

   
              Perlakuan jenayah kini kian berleluasa dan di mana saja tidak mengira tempat. Kejadian samun, pecah rumah, ragut kerap berlaku di kawasan penempatan penduduk baik di pekan-pekan mau pun kampung-kampung. Ada setengahnya bertindak lebih agresif dengan menggugut dengan mengajukan senjata seperti pisau dan parang pada ahli keluarga bagi mendapatkan apa yang mereka hayati. Mungkin satu hari nanti situasi seumpama itu akan berlaku pada diri kita dan juga keluarga kita??.

                   Persoalan itulah yang bersarang di dalam pemikiran kita. Bagi mencegah berlakunya kejadian jenayah yang tidak diingini itu, Kampung Sisik Lantai dan Kampung Kubang Hong telah menjalinkan kerjasama menubuhkan Skuad Kawalan Malam / Cegah Jenayah di kedua-dua kampung. Dengan kekuatan keanggotaan seramai lebih 30 orang yang terdiri dari pemuda-pemuda  kedua-dua kampung, skuad ini telah menjalankan tanggungjawab sosial mereka meronda dikedua-dua kampung bermula jam 12.00 malam hingga 5.00 pagi. Sebanyak 4 post telah diujudkan yang mana dua di Kampung Sisik Lantai dan dua di Kampung Kubang Hong.



Antara Peneraju Skuad Cegah Jenayah 
Kg Sisik Lantai / Kubang Hong

       Skuad ini diasaskan setelah berlakunya kejadian pecah rumah di sekitar kedua-dua kampung ini. Bukannya sudah terantuk baru tergadah tetapi penubuhan skuad ini bertujuan bagi mencegah berlakunya kejadian seumpama ini di masa hadapan.

           Disebabkan penubuhannya tidak terikat dengan mana-mana pihak maka skuad ini bergerak di atas dana sendiri. Dana hasil duit poket serta sumbangan penduduk kampung serta individu-individu yang perihatin. Atas tanggungjawab sosial juga Syarikat Cargill telah tampil menghulurkan sumbangan berupa peralatan seperti lampu picit dan juga vest keselamatan. Sumbangan sebegini amat-amat diharapkan dari mana-mana individu ataupun badan-badan korporat.


Skuad Kawalan Cegah Jenayah Sisik Lantai / Kubang Hong
bergambar bersama wakil Syarikat Cargill dalam majlis penyerahan
sumbangan peralatan kawalan malam

         Niat murni pemuda -pemuda di kedua-dua kampung ini melakukan tugas sukarela wajar di beri 'tabik' hormat. Mereka sanggup mengorbankan tidur ketika orang lain sedang enak dibuai mimpi demi semata-mata untuk memastikan agar kedua-dua kampung sifar jenayah terutama jenayah pecah rumah.


Salah satu Pos iaitu Pos 3 yang terletak di Kubang Hong

       Kerjasama antara Sisik Lantai dan Kubang Hong memang sedia terjalin sejak dulu lagi. Antara kedua-dua kampung ini bagaikan kampung yang bersaudara bukan sahaja berkolaborasi dalam segi kawalan keselamatan sahaja malah dari segala segi seperti gotong-royong kenduri-kendara, majlis keagamaan juga kematian. Jalinan kerjasama antara kedua-dua kampung ini cukup erat dan diharapkan ianya akan diteruskan oleh generasi akan datang.



Jumaat, 10 Februari 2012

Kampung Sisik Lantai : Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian V)


Mentara dan Kenduri

Jalinan kemuafakatan antara penduduk kampung Sisik lantai tidak dapat dinafikan ujud sejak dulu lagi dan masih segar hingga sekarang ini. Jalinan ini dapat dilihat dengan jelas sekiranya ada sesuatu majlis kenduri. 

Bagi aku dan geng-geng aku iaitu Awang Saud, Ajis Semiji, Anun, Awat turut tidak terkecuali dalam menyertai jalinan kemuafakatan ini. Bermula sebagai mentara di rumah kenduri. Pak Jang Kob (Al-fatihah buat beliau) orang pertama yang membawa kami sertai mentara di rumah kenduri. Mungkin kerana dia merasakan sudah tiba masanya kami-kami ini buat sesuatu daripada buang masa. 

Sesunguhnya perasaan seronok tak terkira bila boleh sertai geng mentara. Seronok disebabkan mula merasai diri kami dihargai dan diiktiraf untuk mencurahkan bakti buat penduduk kampong.  

Kumpulan mentara Sisik Lantai dulu memang agak terkenal. Memang ramai ahlinya termasuk gabungan dengan budak-budak Kubang Hong antaranya Pak Su Wak Abu, Kang, Salim Menan, Achit panjang, Fozi Tok Awang Trektor dan satu dua orang budak Taman Batu Pekaka seperti Man Tuak, Mi Harun, budak Taman Dato’ Haji Muslim Li Kabat, Awang Kudung, Shah Kaloi , budak Pekan Lama Lan Renyih dan At.

Budak-budak mentara Sisik Lantai antaranya Wahid, Mat Robin, Aman, Ani, Jefri cucu Paklong Jusuh, Eder, Ajis Senget, Anuar Samijo, Ari Man, Ajis komando, Malek, Azam, Mael Pak Rashid, Bahaman, Badeli, Ajis Tok Mud, At, Pa Paksu At, Chop remos, Pe Pak Man Toyo, Sani. Itu geng yang senior geng yang junior pula selain aku, Awang Saud, Anun, Ajis Samiji, Awat, Zam samijo, Mail Toge, Lan Che Me, An Pak Abu, Leman, Nan, Din, Li Bang Hashim, Yusri. Ramai lagi sebenarnya yang nama mereka tidak dapat aku ingat. Tetapi yang nyata bila ada sesuatu majlis kenduri,  hampir 20 puluh orang lebih mentara yang turun dengan uniform baju pagoda putih.

Dengan tenaga yang ramai kerja menjamu tetamu menjadi lancar dan tersusun. Tambah-tambah akan lancar bila terdapat ramai mentara perempuan yang turut sama mencurah bakti. Bukan main rajin lagi malah berebut-rebut menghantar hidangan ke khemah perempuan. Pakaian juga bukan main melawa lagi. Dengan kasut kulitnya dan berspek mata hitam segala.

Biasalah jiwa remaja cuba-cuba masuk daun. Dulu mentara pompuan juga terdiri dari anak-anak dara bukan seperti sekarang ini yang rata-rata mentara perempuan terdiri dari kaum veteran. Mungkin itu faktor ketiadaan anak muda yang hendak menjadi mentara sekarang ini sebab tak ada ‘bunga-bunga’ yang mewangi.  Yang ada hanya bunga ‘taik ayam’.

Dulu kepatuhan kepada Ketua Mentara memang tinggi. Keadaan juga tidak berkecamuk dan ianya begitu tersusun. Sekiranya diperlukan hidangan untuk tetamu, ketua mentara akan menyuruh ahli mentara bersedia. Contohnya 3 talam. 3 talam bermakna 3 set lengkap seperti air basuh tangan, air minuman, nasi dan lauk-pauk. Sekiranya 3 talam diperlukan di sesuatu khemah. Bermakna 12 tenaga mentara diperlukan.  Pada masa dahulu mana ada bufet-bufet segala.

Seorang akan membawa air basuh tangan, air minuman, seorang nasi dan seorang lauk. Pergerakan juga selari dimana bukan terus hantar sebaliknya semuanya bersedia berkumpul dengan benda yang hendak dibawa dan apabila mendapat arahan dari ketua mentara barulah ketiga-tiga set hidangan itu di hantar serentak ke khemah.

 Didahulukan dengan air basuh tangan dan air minum diikuti dengan nasi dan lauk. Ikut susunan dan nampak lancar dan tertib tidak seperti sekarang ini yang mana nampak agak kelam kabut dan bercelaru. Ketertiban inilah yang membuatkan ramai yang tertarik dan menjemput pakatan mentara Sisik Lantai menjayakan kenduri di rumah mereka walaupun di luar kampong Sisik Lantai.

Setiap orang mentara akan diberikan bunga yang dipakaikan di baju dan sehelai tuala kecil Good Morning. Bunga dipakaikan sebagai tanda ianya salah seorang tenaga kerja dalam kenduri itu. Bagi kami mentara penerimaan  bunga itu seolah satu tali yang mengikat agar pulang jam 5.00 petang. Mana-mana tuan kenduri yang berada, bunga akan di buat menggunakan duit kertas seringgit yang digubah.

Mentara juga turut diberikan rokok dunhill 14 batang. Ianya bagaikan sesuatu yang wajib tuan kenduri untuk sediakan rokok pada mentara. Hanya rokok jenama dunhill, sekiranya rokok benson & hedges muka mentara sedikit ‘ketat. Kerana rata-rata tidak menggemari rokok jenama benson kerana dikatakan terlalu ‘lembut’ dan tak ada ‘kick’ berbanding Dunhill.  

Bagi kami yang masa itu masih boleh di kategorikan bawah umur  turut mendapat seorang sekotak kerana sudah menjadi ‘piagam’ setiap yang menjadi mentara akan mendapat sekotak rokok tidak mengira walaupun dia masih di bawah umur.  Biasanya aku terpaksa bawa balik ke rumah. Tapi ada juga yang ‘menyelit’. Maka berasaplah pokok cenerai di tebing sungai hujung tanah Tok Seman Beras. Terkadang dijual kepada Ane kedai station bas dengan harga murah berbanding harga asal. Murah pun murah asalkan dapat duit.

Selesai sesuatu majlis kenduri biasanya pukul 5.00 petang bermakna tamatlah tugas para mentara. Sebelum pulang Pak Su At Cerut (Al-fatihah buat beliau) akan menyuruh tukang bancuh air sediakan air teh beserta kuih-kuih untuk dijamu para mentara. Tuan rumah juga akan berikan bunga telur, bungkusan kuih dan ada yang memberikan sabun.

Sebelum semua pulang ketua akan arahkan semua mentara berjumpa dan bersalaman dengan tuan rumah. Sopan dan tertib. Disebabkan itu jugalah mentara Sisik Lantai agak terkenal di sekitar Kuala Ketil dan khidmatnya turut di diguna diluar dan tidak hanya termaktub di kampong Sisik Lantai sahaja.

Selepas Pak Jang Kop mengundur diri Pakatan Mentara diambil alih oleh Pak Su At Cerut , Abang Din dan Bang Li driving school. Ketika dibawah Pak Su At cerut dan Bang Din kami menjadi semakin aktif seiring dengan umur kami yang kian meningkat. Tambahan pula ramai mentara senior yang sibuk dengan komitmen kerja ada juga yang telah berhijrah kerja di tempat lain. Ada yang memasuki tentera, polis dan sebagainya. Tinggallah kami yang junior mengambil alih meneruskan legasi mentara Sisik Lantai.

Suasana kenduri dahulu memang berlainan dengan sekarang dan dirasakan kenduri dahulu lebih meriah lagi. Bermula dari awal kenduri sehingga habis selesai segalanya. Semuanya dilakukan secara gotong royong dengan semangat muafakat yang cukup tinggi. Kenduri dalam suasana yang tidak selengkap sekarang tapi dapat dilakukan dengan semeriahnya. Kenduri dalam suasana yang tidak mempunyai kelengkapan kerusi dan khemah, dapur dan segalanya seperti mana sekarang.

Masih aku ingat lagi dahulu jika ada sesuatu majlis kenduri tumbanglah pokok pinang dan pokok buluh untuk dijadikan tiang khemah, meja dan juga kerusi. Sekumpulan orang akan menebang dan mengusung batang-batang pinang ke rumah kenduri. Terkadang itu  dari hujung kampong dibawah di tengah kampong. Perit rasanya bahu. Tetapi atas semangat kejiranan sakit melecet bahu tidak terasa. Yang penting kenduri dapat dijayakan walaupun itu bukan kenduri dia tetapi cara khidmat yang dicurahkan seakan majlis kenduri dia.

Batang-batang pinang dipotong-potong. Ada yang dijadikan tiang khemah, tiang meja dan kemudian dibelah-belah dibuang pulur untuk dijadikan tempat letak punggung. Bukannya mudah melakukan semua kerja-kerja itu. Bukan itu saja ianya juga mengambil masa hampir sehari untuk siapkan meja panjang dan kerusi panjang untuk tetamu duduk menjamu selera. Tetapi sikap bantu-membantu memudahkan segalanya. Bumbung pula biasanya kain terpal lori. Ada juga yang menambahnya dengan memasang kain paracut tentera. 

Bagi yang berada akan memasang ‘balai’. Ini kerana balai ini perlu disewa. Balai diperbuat daripada kayu yang disambung menggunakan skru. Kalau masih ada sekarang ini mungkin namanya diubah kepada ‘gazebo’. Bukan semua kampong mempunyai balai ini. Yang ada balai ini ialah Kampung Batu Satu.

Kegunaan balai memang banyak sekali. Menjadi tempat kaum ibu menyiang bawang sambil berborak-borak, kata mengata, gossip mengossip. Sebelah malam menjadi tempat orang bermarhaban dan tengah malam menjadi tempat sanak-saudara melelapkan mata bergelimpangan. Bagi yang berkemampuan menjemput kugiran, di atas balai ini juga  yang menjadi pentasnya.

Yang lain akan sibuk membuat tempat masak yang dipanggil gedehok. Membuat tempat masak tidak kurang teruknya. Terpaksa mengali tanah untuk dijadikan dapur. Gali sedalam kira-kira dua kaki berbentuk bulat dan dibuat tempat mengisi kayu api. Sekali imbas bentuknya seakan lubang kunci.  Bukan sembarangan orang yang boleh gali dapur hanya yang berkemahiran saja yang ditugaskan untuk membuat kerja itu.

Kebaikan dapur daripada tanah apinya tidak mudah ditiup angin dan baranya dapat memasak nasi dengan eloknya. Selalunya selepas habis kenduri lubang dapur akan tetap kekal di  rumah tuan kenduri. Ada yang sampai menimang cucu tiang khemah yang dibuat dari batang pinang masih bercacak di halaman rumah.

Kalau di singkap semula kerja-kerja kenduri dulu tidak banyak bezanya  dengan sekarang ini. Yang berbezanya ialah bahan-bahan untuk melaksanakan majlis kenduri itu. Sebelum sesuatu majlis kenduri bermula sama seperti sekarang ini mesyuarat kerja kenduri akan dilakukan. Pembahagian kerja diatur daripad A sampailah ke Z. Tapi setengah-setengah kerja yang diamanahkan kepada seseorang bukanlah mudah seperti sekarang.

Contohnya bahagian penyediaan air gincah atau air untuk kegunaan kenduri. Kalau sekarang ini begitu mudah cuma cucukkan getah paip dan tarik saja kemana. Tapi dahulu tukang jaga air gincah ini perlu mengunakan enjin dan sedut air telaga.  Dia bertanggungjawab sepenuhnya untuk pastikan bekalan air kegunaan kenduri lancar. Jika engin buat hal, berkali-kali di start enginnya tetap tidak mahu hidup berpeluh jadinya si tukang air gincah. Apa cara pun air perlu disediakan untuk kegunaan tukang masak. Itulah perbezaannya antara dulu dan sekarang.

Penyediaan air minuman iaitu air merah juga agak unik terutama dari segi simpanan ais. Dahulu ais didatangkan dalam bentuk empat segi kemudian di masuk dalam guni diisi dengan habuk kayu. Ais tadi kemudiannya akan ditanam di tempat redup bagi mengelakkannya cepat cair. Sekiranya bekalan ais habis akan digali di pecahkan dicuci kemudian masukkan dalam balang air. Selebihnya akan ditanam semula untuk elakkan dari cair.

Dari segi jemputan. Dulu tidak menggunakan kad hanya dengan panggilan mulut. Tuan kenduri akan meronda segenap rumah di dalam kampung untuk menjemput  sendiri ke majlis walimatul urus di rumah dia. Bagi kampung sebelah tuan kenduri akan mewakilkan kepada seseorang  di kampung tersebut untuk menjemput bagi pihak tuan kenduri. Jemputan biasanya akan terus ‘direct’ kepada orang kampung. Secara tak langsung kita memang dah tahu yang tuan kenduri  benar-benar menjemput  kita ke majlis di rumahnya.

Bukan seperti sekarang ini begitu mudah urusan jemputan kenduri. Selit sahaja kad di pagar, masukkan dalam peti surat. Sehinggakan kita tertanya-tanya kenduri di rumah siapa. Sehinggakan jika kita hadiri kenduri tuan kenduri berkerut dahi cuba hendak mengenal kita ini siapa. Kadangkala kita sendiri terasa janggal bila tuan kenduri seakan tidak mengenali kita.

Semua ini disebabkan kad-kad kenduri di serahkan pada wakil dan wakil main selit tanpa berjumpa dan menjemput secara ‘direct’. Memang semua orang sibuk pada masa sekarang ini tapi dengan cara itu ikatan sillaturrahim dan kemuafakatan dirasakan tidak begitu kuat dan kukuh.

Dahulu apabila menjelang hari kenduri, di sebelah petang pokok kelapa ataupun pokok apa saja yang tinggi akan dipanjat untuk di ikatkan speaker. Riuh-rendahlah suasana dengan lagu-lagu yang diputarkan dengan menggunakan piring hitam ataupun kaset. Orang ramai yang sibuk melakukan kerja masing-masing terlenggok-lenggok kepala.

Dipinggir hutan ramai orang berkerumun melihat ketangkasan mereka yang expert menumbangkan lembu untuk disembelih serta dilapah. Di gedehok tukang masak dibantu oleh beberapa orang lagi sibuk dengan persediaan rempah ratusnya dan juga bersiap untuk memasak nasi bagi majlis khatam quran dan marhaban sebelah malam nanti.

Kelazimannya nasi berlaukkan ikan tamban goreng dengan gulai pisang muda campur ikan bilis, goreng hati dan pedal ayam bersama kacang panjang sebagai hidangan di sebelah malam. Tukang masak tentunya Wak Ali (Al-fatihah untuk beliau) tukang masak tersohor dan berpengalaman ketika itu diikuti oleh Pak Tamin dan Pak Thalib Janggut.

Yang lain duduk basahkan tekak dengan air kopi cicah roti empat segi dengan pisau terselit di pinggang menanti lembu yang di sembelih siap di lapah di bawa kepada mereka untuk dipotong-potong untuk di masak kurma. Dahulu daging masak kurma memang menu utama. Memang sedap dan berselera. Disamping kerabu umbut kelapa.

 Dibelakang rumah kaum perempuan sibuk merebus telur untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu yang hadir. Ada yang membantu ‘Tok Tukang’ Pak Long Jusuh dan Mak Long Leha menghias pelamin dan bilik tidur. Membungkus kuih-kuih untuk diberikan kepada mentara dan orang yang bekerja pada esoknya.

Ada juga yang duduk saja melihat orang lain buat kerja sambil menghabiskan roti empat segi di dalam pinggan. Budak-budak berlari kesana-sini bermain aci ligan atau polis sentri. Memang meriah suasana di petang kenduri. Sifat kerjasama dan permuafakatan begitu terserlah.

Keesokan harinya majlis berlangsung dalam suasana meriah dengan lagu-lagu Hindustan bergema menghiburkan semua orang melalui corong-corong speaker yang terikat di pokok kelapa atau cabang pokok rambutan atau mempelam. Bergemersik bunyinya. Jamuan makan dimulakan seawal jam 11.00 pagi dan para mentera dikehendaki ‘lapor diri’ jam 10.30 pagi bagi bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja menghidang makanan dan mengangkat ‘kulit’. ‘Kulit’ ialah istilah bagi pinggan-mangkuk yang ditinggalkan para tetamu selepas makan.

Tengaharinya ada persembahan kompang dan silat menyambut kedatangan pengantin. Kumpulan silat biasanya dijemput dari Padang Geh iaitu dibawah Tok Yop. Pasukan kompang juga terdiri dari budak kampong ini yang diketuai oleh Pak Long Jusuh ( Al-Fatihah untuk beliau). Kepak…. kepak…. kepunn… kepunnn.. bergema pukulan kompang dikepalai oleh Pak Long Jusuh yang siap bertengkolok.  

Pasukan kompang yang boleh dikatakan anak didik Pak Long Jusuh ini bukan sekadar buat persembahan menyambut pengantin di rumah-rumah kenduri malah pernah diundang untuk mengiringi wakil rakyat dan menteri yang melawat sekitar kawasan Kuala Ketil.

Bukan setakat mengetuai pasukan kompang, Pak Long Jusuh dan Mak Long Leha juga di kenali sebagai ‘Tok Tukang’ yang mengurus hal ehwal pakaian pengantin, solekan dan juga menghias pelamin. Bukan setakat itu  Pak Long Jusuh juga terkenal kerana boleh mengubati orang dengan jampi serapah. Yang uniknya basikal milik Pak Long Jusuh penuh dengan aksesori tambahan dan senantiasa  ’merelit’ walau dalam apa jua keadaan cuaca.

Selesai upacara kenduri bagi merehatkan badan yang keletihan malamnya akan di tayangkan video. Video player dipinjam dari sesiapa yang mempunyai alat itu. Bukan senang hendak mencari sesiapa yang miliki video player. Bukan ramai orang yang memiliki Video player. Jika tidak ada video player akan disewa di kedai Joseph di pekan Kuala Ketil. Tape video turut disewa di kedai Joseph.

Tayangan video ini sebenarnya bermula malam sebelum kenduri lagi. Permulaan tayangan gambar Hindustan atau gambar melayu. Ianya khas untuk kaum wanita. Penuhlah khemah dengan kaum hawa menonton video cerita Qurbani, Naseeb, Nagin, Disco Dancer. Selepas itu ditayangkan gusti khas untuk para peminat gusti. Lewat malam biasanya tayangan gambar ‘panas’ akan diadakan apabila semua kaum hawa dan kanak-kanak sudah tidur. Penonton tentunya para remaja termasuk juga beberapa orang veteran.
           
Bagi yang berkemampuan kugiran Batu 5 Sik akan dijemput dan malam itu semuanya bergembira. Ada yang menari sehingga lupa akan penat bertungkus lumus  siang tadinya dan itulah sebenarnya tujuan tuan rumah menjemput kugiran untuk menghibur kesemua yang telah bertungkus lumus dalam kerja kenduri rumahnya pada sebelah siang tadinya. Tapi itu bagi mereka yang berada.

Selesai hari kenduri tidak bermakna selesai segala kerja. Masih ada lagi yang perlu dibuat. Ramai-ramai sekali lagi akan turun memeriksa pinggan mangkuk, meneliti pinggan mangkuk yang retak dan sumbing, mengira, mencari kalau-kalau ada yang hilang. Kemudian dihantar ke stor untuk disimpan.

Dan selang seminggu tuan kenduri sekali lagi akan menjemput semua yang terlibat dalam kerja-kerja kenduri di rumahnya untuk sekali lagi dijamu makan dalam majlis yang dipanggil ‘cuci balai’. Jamuan ‘Cuci balai’ ini sebagai tanda terima kasih tuan kenduri kepada mereka-mereka yang bertungkus lumus menjayakan majlis walimatul urus di rumah dia.

Tapi sekarang ini ‘cuci balai’ tiada lagi dan terus ditinggalkan dalam ‘agenda’ pelaksanaan sesuatu majlis kenduri. Selesai kenduri, selesai pulangkan semua peralatan, selesailah segalanya. Tidak seperti dulu.  Ini menunjukkan betapa akrab hubungan sesama jiran pada masa dahulu.

             

Kampung Sisik Lantai : Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian IV)


              Banjir

      Semua keseronokan bermain, berkelah di sungai dikecapi ketika musim kemarau. Tetapi di dalam ‘kejinakkan’ sungai itu ada masa dia bertukar menjadi ‘garang’ seolah-olah menunjukkan ‘taringnya’ apabila dia melimpah ruahkan airnya melepasi tebing hingga  ‘membaham’ seisi kampong.

            Banjir sudah sinonim dengan kampong aku. Itulah risikonya berkampung di tepian sungai. Setahun sekali pasti banjir akan datang bertandang menjenguk. Kadangkala bukan sekadar  ‘lawatan’ biasa tetapi lawatan yang agak luar biasa sehingga menenggelamkan separuh dari Pekan Kuala Ketil.

Pekan Kuala Ketil sememangnya satu kawasan yang tinggi jadi bayangkanlah jika separuh Pekan Kuala Ketil di tenggelami maka semua rumah-rumah di kampung aku yang boleh dilihat hanyalah bumbung-bumbung sahaja.

            Apabila menjelang musim tengkujuh persekitaran  bulan November hingga Disember semua penduduk kampong sudah tahu ‘pesta air’ pasti akan berlangsung. Tambah-tambah jika hujan turun tanpa henti-henti, paras air sungai di lihat mulai bertambah sedikit demi sedikit sehingga menghampiri gigi tebing. Tolok penanda amaran banjir yang berada di pengkalan Pak Man Sampan dan di pengkalan Tok Umai semakin menunjukkan tanda berjaga-jaga. Kawasan yang rendah mula di masuki air. Itulah petandanya banjir akan berlaku.

            Semua ini dikuatkan lagi bila mendapat perkhabaran bahawa di kawasan hulu yakni pekan Baling dan Sik sudah pun berlakunya banjir.  Van Jabatan Penerangan pula sudah masuk ke kampung membuat pengumuman amaran agar bersiap-sedia, maka semua penduduk kampong sudah arif benar tidak berapa lama lagi  saja kami akan ber‘carnival air’. Ini kerana jika banjir yang berlaku di pekan Baling dan Sik surut bermakna air itu akan turun ke kawasan kami pula.

            Persediaan harus dibuat. Pak Teh Ali, Pak Daud, Pak Lang Ali semakin sibuk bersama yang lain-lain yang ada memelihara binatang ternakan. Pendekatan awal harus diambil segera. Lembu, kerbau, kambing harus secepat mungkin dipindahkan ke kawasan tinggi. Kereta, motosikal juga tidak terkecuali. Jika dibiarkan pasti akan terperangkap dalam air banjir yang biasanya akan naik secara mendadak dan pantas.

Kebiasaannya pula air akan naik di sebelah malam ketika semua orang sedang tidur. Tetapi semua tidaklah tidur mati bila sudah melihat keadaan air sungai yang sudah mula memanjat tebing sebelah petangnya . Masing-masing tidur dalam keberwaspadaan.

Mulanya air sungai akan ‘jerap’ masuk melalui parit ‘kok’ di tepi rumah Bidin memenuhi sekitar kebun getah Pak Lang Berahim dan ladang tebu Ropiman kemudian airnya mulai melintasi jalan kampong melalui tepi pokok kabu besar  separas buku lali, kemudian separas lutut, pinggang dan akhirnya separas dada.  

Kecepatan air naik kadangkala bagaikan tidak memberi ruang kesempatan pada penduduk untuk memindahkan barang-barang ke tempat lebih tinggi. Sekejap sahaja rumah-rumah akan ditenggelamkan.

           Bagi mana-mana penduduk yang rumah yang tidak mempunyai tingkat atas terpaksalah membina para di atas alang bagi menempatkan barang-barang penting seperti alatan elektrik terutamanya peti televisyen, radio dan sebagainya, juga pakaian dan perabot yang semampunya turut ditempatkan disitu bagi mengelakkan dari di tenggelami air.

Tetapi tahap-tahap kenaikan air banjir sukar diramal. Jika banjir besar melanda akan tenggelam juga walaupun ditempatkan di alang rumah. Walaupun rumah dua tingkat turut tidak terkecuali dari ditenggelamkan air.

            Bagaikan pesta air jadinya kampong aku. Orang luar juga ramai yang datang meninjau-ninjau sambil bermain-main air. Ada yang ambil kesempatan mencuci motosikal. Pada masa yang sama juga pihak polis akan masuk ke dalam kampung memberi amaran kepada penduduk agar bersedia untuk dipindahkan jika air semakin naik. Amaran itu biasanya ditujukan kepada golongan orang tua dan kaum perempuan serta kanak-kanak.

            Ketika air mula naik kesempatan di ambil untuk menahan pukat. Pukat dipasang di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan air melimpah masuk ke dalam kampung. Hasilnya ikan lampam, ikan pucuk pisang, ibu ikan, ikan teroboi, baung. Jika nasib kurang baik tersangkut ular sawa batik. Rakidin, Samijo, Wahid antara yang tidak melepaskan peluang untuk melabuhkan tiga empat kepala pukat.

          Apabila air semakin naik dan sudah mencecah paras pinggang dan dada di sesetengah kawasan, bot pasukan polis ataupun askar akan datang dan memindahkan penduduk kampong dibawa ke  kilang papan dekat pangkalan Pak Man Sampan. Disitu trak polis sudah menunggu dan penduduk kampong  kemudian akan di bawa ke Sekolah Cina ataupun bangunan Umno untuk ditempatkan bersama dengan penduduk kampong-kampong lain yang terlibat dengan banjir. Ini  bermakna makan nasi kawah berlaukkan sardin jawabnya. Bagi aku ketika kanak-kanak tidak terkecuali dari menaiki bot askar dan bermalam di bangunan Umno.

            Banjir yang melanda kampong aku sememangnya dalam. Ada rumah yang hanya kelihatan bumbung antaranya rumah Pak Ngah Che Dan.  Arus air juga deras menghanyutkan apa saja termasuk reban ayam jika tidak diikat pada pokok atau sebagainya. Bagi sesiapa yang mempunyai perahu ketika itu laksana memiliki BMW 7 series ataupun Mercedes SLK. Cukup berharga perahu di waktu itu. Wahid dan Pak Daud, Abang Mail Kak Nab antara yang memilki perahu.

Bagi kami ketika itu batang pisanglah yang dicari dibuat rakit. Ketika itu tidak diambil peduli lagi pokok pisang siapa yang empunya. Tebang saja asalkan jadi rakit. Meronda setiap ceruk.  Tetapi melihat pada tahap air juga. Biasanya bila air semakin dalam, arusnya turut semakin laju. Tidak berani juga kami hendak bermain rakit kerana ianya boleh hanyut dibawa arus. Jangan dikatakan rakit, perahu pun sukar dikawal bila arus sudah bertukar menjadi deras. Boleh terkandas pada pokok-pokok jika tidak pandai mengawal. Akhirnya akan karam.

            Kebanyakan yang keluar ke pusat pemindahan banjir ialah kaum ibu, kanak-kanak dan orang tua-tua. Bagi kami yang muda-muda belia masih lagi berada di rumah walaupun air banjir sudah mencecah paras bahaya. Bagai yang sudah dikatakan, anak Sisik Lantai semua ‘anak sungai’ jadi ianya bukanlah satu masalah berdepan dengan air sebegini.

Walau bagaimanapun bukanlah hendak bercakap besar, ajal maut di tangan tuhan. Tetapi sehingga ke hari ini tidak ada anak Sisik Lantai yang mati lemas. Baik lemas ketika banjir ataupun lemas ketika mandi di sungai. Ini membuktikan anak Sisik Lantai memang ‘jaguh’ bermain air.

            Lagi pula dalam keadaan banjir rumah-rumah tidak boleh di tinggalkan begitu saja. Penyagak dan penyamun bukannya mengira situasi. Tambah-tambah dalam keadaan begini lagi memudahkan urusan kerja mereka dijalankan jika semua orang berada di pusat pemindahan. Kata orang menangguk di air yang keruh. Jadi keadaan kampong perlu juga diawasi. Siapa lagi kalau bukan anak muda harapan bangsa seperti kami.

            Kesempatan ini diambil oleh kami-kami pemuda harapan bangsa meronda dengan perahu memantau keadaan rumah-rumah sambil-sambil itu memberi bantuan ‘kecemasan’ kepada ayam-ayam  yang hanyut terkandas kesejukkan di atas pokok. Ditangkap dan disembelih kemudian di ‘kari’ kan. Tuan punya ayam tidak berkisah kerana jika tidak ditangkap pun dia  tahu ayam-ayamnya pasti mati kesejukkan ataupun hanyut dibawa arus banjir.

            Jika tidak ubi kayu akan di cari. Dalam keadaan banjir mudah saja mencabutnya. Sekali rentap terbungkas seperdu ubi kayu. Direbus kemudian dicicah dengan kelapa parut. Nikmati bersama kopi O di tengah-tengah hujan memang terangkat. Main air banjir sentiasa membuatkan tangki perut cepat menunjukkan ke ‘E’. Apa saja yang ada akan dibelasah.

            Sekolah Cina ataupun Bangunan UMNO menjadi ‘hotel’ buat mangsa banjir. Selalunya mangsa-mangsa terdiri dari kampong aku, kampong kubang hong, pekan lama dan Tanjung puteri. Nasi kawah dan kari sardin itulah menu yang ‘regular’ ketika banjir. Pejabat kesihatan juga ada yang datang membuat pemeriksaan sambil memberikan suntikan jika perlu. Roti empat segi dan air kopi  tersedia ada bagi mengalas perut yang sentiasa lapar. Malamnya tidur bergelimpangan serata ceruk. Serata penjuru.

            Apabila banjir surut bermula pula satu lagi episod. Episod yang meletihkan. Episod mendobi rumah. Biasanya banjir akan surut dalam masa dua hingga ke tiga hari. Episod ini yang amat memeritkan. Keseluruhan rumah disaluti lumpur. Dari lantai, dinding sampailah ke segala peralatan pinggan mangkuk kain baju, meja kerusi dan apa saja yang tenggelam di dalam air banjir.  Apabila banjir surut juga dapat menyaksikan banyak barang perabot yang rosak. Ada barangan elektrik seperti peti televisyen dan radio serta peti sejuk yang ditenggelami banjir. Mujur semua itu masih boleh digunakan semula bila ianya di keringkan.

            Bermulah pula ‘pesta’ mencuci rumah. Segenap sudut perlu disental. Jika tidak di sental bila ianya kering kelak kesan keputihan lumpur akan kelihatan terserlah. Peralatan pinggan mangkuk, periuk belanga yang berselerakkan dan bergelimpangan dalam rumah perlu dikumpulkan dan dicuci. Kain baju, tilam bantal juga terpaksa dibersihkan.

Reban ayam perlu diperbetulkan walaupun ayamnya entah kemana. Entah ada entah sudah mati ataupun sudah di ‘kari’kan orang. Pendek kata memang memenatkan. Tambahan pula dahulu tidak mempunyai aip paip maka terpaksalah menggunakan air telaga untuk kerja-kerja mencuci itu. Bayangkan terpaksa menceduk air telaga. Sungguh memenatkan.

            Banjir turut memberi kesan kepada pokok-pokok, rumput-rumput yang juga turut disaluti lumpur. Lembu-lembu dan kambing turut terkena tempias kerana tidak berselera meragut rumput yang bersalutkan lumpur. Tetapi tuhan maha adil, disesahnya hujan lebat hilang kesan lumpur yang menyaluti rumput rampai.

            Kesan banjir juga menghasilkan bau busuk. Selain itu tanah akan menjadi becak dan hanya akan pulih dalam masa beberapa hari. Tetapi yang baiknya kampong menjadi bersih, segala sampah sarap habis dihanyutkan. Segala pelepah kelapa, daun-daun kering, buah-buah kelapa terbiar, tin-tin kosong, botol-botol plastik semua dihanyutkan. Malah tidak lagi memerlukan khidmat ‘Indah water’. Segala ‘tangki-tangki’ jamban semua dibersihkan selepas banjir.

Itulah antara istimewaan Kampung Sisik lantai. Setiap tahun akan ada ‘pembersihan’.  Selepas banjir keadaan kampong nampak bersih. Sampah sarap tidak lagi kelihatan. Pelapah kelapa tidak lagi berselerakan. Segala tin-tin, botol plastik dihanyutkan air. Bersih dan lapang.

Rabu, 8 Februari 2012

Kampung Sisik Lantai : Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian III)


         Sungai salah satu anugerah yang cukup bernilai daripada Allah s.w.t kepada kami penduduk kampong Sisik Lantai. Bagi pendapat aku secara peribadi , indah dan bermaknanya kampong Sisik Lantai ini disebabkan adanya sungai. Jika tanpa sungai kampung Sisik Lantai pastinya akan sepi dan akan jadi sama saja seperti kampung-kampung yang lain yang tidak ada aktiviti tambahan.

Kelebihan Kampung Sisik Lantai pada sungai. Sungai yang dikenali dengan nama Sungai Ketil yang mengalir di dalam jajaran Sungai Muda menjadi sebahagian dari nadi yang menghidupkan kampong Sisik Lantai. Juga memberi sejuta manafaat dan rahmat kepada penduduk kampong selain menambahkan lagi aktiviti sampingan penduduk kampong dengan membuat pelbagai perkara di sungai seperti memancing ikan, memukat, menjala, berkelah, mandi-manda dan sebagainya lagi.

            Sungai Ketil ini mengalir menganjur  seakan mengelilingi kampung Sisik Lantai dan menjadikan Kampung Sisik Lantai berada dalam kedudukan seperti tanjung.  Mengalir dari muara pencantuman dua batang sungai iaitu sungai Baling dengan Sungai Sik menjadikan sungai ini luas dan dalam. Arus nya juga laju.

Bagi penduduk kampong selain menjadi tempat berehat, berkelah, bersantai. Ianya juga menyediakan Lampam Jawa, Lampam Merah, Tongsan, Kaloi, Baung, pucuk pisang, temperas, sorok batang, kenying, ikan patung, teroboi, tilan, tili, udang galah untuk kaki pancing di dalam lubuk Kuala Sisik Lantai, Lubuk Pokok Pisang, Lubuk Tok Jahaya, lubuk jawi.

Bukan setakat itu saja, malah sungai juga menjadi tempat ‘pembuangan’ saka. Melihat buyung yang dilitupi kain kuning dan lilin yang menyala hanyut terapung-apung di sungai ketika waktu maghrib atau tengah malam sudah biasa bagi kami yang tinggal di pinggir sungai. Bagi kami terasa juga seramnya tetapi namun dibiarkan ianya hanyut terus kemana saja dan jangan diganggu. jika diganggu mungkin ianya akan memberikan ‘kesan’. Ada juga orang india yang menghanyutkan habu mayat sanak saudara mereka. Masing-masing dengan kepercayaan masing-masing.

           Sungai ini juga menjadi pemisah antara kampong Sisik Lantai dengan kampong Batu Belacan. Walaupun begitu ianya bukanlah satu penghalang bagi penduduk kampong batu belacan untuk ke pekan Kuala Ketil. Khidmat sampan disediakan oleh Pak Man dengan mengambil upah membawa mereka menyeberangi sungai untuk ke Pekan Kuala Ketil termasuk budak-budak sekolah yang belajar di sekolah Menengah Kuala Ketil dan sekolah Menengah Tanjung Puteri berdekatan pekan kuala ketil.

Bagi penduduk batu belacan, sampan Pak Man merupakan pengangkutan yang amat penting bagi mereka sekali gus ‘mendekatkan’ Batu Belacan dengan Kampung Sisik Lantai.

            Sampan Pak Man ini bertindak untuk mendekatkan Kampung Batu Belacan dengan Pekan Kuala Ketil bagi memudahkan penduduknya berurusan samada membeli barangan keperluan ataupun apa saja urusan lain. Jika tanpa sampan Pak Man, penduduk terpaksa menggunakan jalan raya yang berjarak hampir 15 kilometer untuk ke Pekan Kuala Ketil dengan melalui Estet Lubuk Segintah. Jika menggunakan jalanraya pastinya perlu menggunakan motosikal ataupun bas. Perjalanan juga mengambil masa. Dengan sampan Pak Man masa perjalanan menjadi singkat dan sekadar cukup menaiki basikal sahaja. Ini amat menjimatkan bagi penduduk Batu Belacan.

            Melengkung-lengkung tubuh kurus Pak Man mendayung meredah arus menyeberang ke tebing sebelah sana dan sebelah sini berulang-ulangkali mengikut kehendak penumpang. Jika kemarau terpaksa mencari laluan yang sedikit dalam untuk mengelakkan dari sampan tersangkut pada pasir. Apabila air banyak terpaksa pula berhempas-pulas meredah arus yang deras agar sampan tidak hanyut dan tersasar dari pangkalan.

Sewajarnya  boleh di respek Pak Man Sampan ini biarpun air sungai hampir melimpah ruah dari tebing, Pak Man masih sanggup membawa penumpangnya menyeberang walaupun risiko sampan hanyut atau tenggelam terpaksa dia hadapi.  Sampan dia juga tidak dilengkapi dengan alat bantuan kecemasan seperti pelampung atau life jacket. Tetapi seingat aku, tidak pernah sampan Pak Man mendapat petaka atau musibah. Tidak pernah karam dan tidak ada penumpang yang dibawanya jatuh atau lemas di dalam air.

            Pengkalan tambang ini turut memberi peluang kepada para jejaka-jejaka perasan untuk ‘menackle’ anak gadis Batu Belacan terutama pelajar sekolah. Terdapat gerai makan bersebelahan kilang papan sekali gus menjadikan tempat anak-anak muda melepak, melongo menghabiskan masa menikmati hembusan angin sungai yang nyaman di samping itu juga cuba-cuba ‘beramah mesra’ dengan anak-anak gadis Batu Belacan yang menanti giliran dibawa ke seberang oleh Pak Man.

            Pengkalan tambang Pak Man sampan kalau menurut orang-orang lama jika disingkap sejarahnya dikatakan dulu merupakan sebuah tempat pelabuhan dan tempat barang-barang dagangan dibawa masuk menggunakan tongkang. Bagi mengukuhkan fakta tersebut pelbagai barangan lama seperti serpihan tembikar serta siling-siling lama banyak ditemui ketika kerja-kerja penyedutan pasir dilakukan disekitar kawasan itu.

Di situ juga dikenali sebagai Pekan Lama. Bermakna pekan Kuala Ketil yang termula sekali mungkin berpaksi disekitar pengkalan tambang Pak Man. Apa pun untuk kesahihannya perlulah merujuk orang-orang lama yang lebih arif dan yang tahu selok-belok dan sejarah tentang pengkalan Pekan Lama ini.

            Disitu juga terdapat kilang papan. Kilang papan yang memberikan pekerjaan kepada penduduk Sisik Lantai antaranya Pak Hussin Sintak ong, Pak Saud, Dolah Doleng. Dan dengan adanya kilang papan itu juga memberi manafaat kepada penduduk kampong aku untuk mendapatkan kayu-kayu dan papan-papan sayung bagi kegunaan membuat reban ayam, reban kambing, tiang-tiang pagar, pangkin-pangkin tempat melepak dan sebagainya.

Di gerai makan kilang papan juga menjadi tempat orang-orang yang tidak puasa mengisi perut mereka di tengahari. Juga terdapat ‘kasino’ di situ yang mana menjadi tumpuan kaki-kaki judi seperti Mat ribu dan lain-lain. Malah ada yang mati akibat terjun ke dalam sungai akibat  tidak tahu berenang ketika diserbu polis.

             Dulu sungai memang indah dan cantik. Dipagari pohon-pohon teberau dan reyung yang terlentuk liuk ditiup angin dengan bunganya bak baldu berkemutihan. Pohon-pohon balik angin dan pokok bongor meredupkan suasana tebing-tebing. Sejuk dan nyaman.

Pokok-pokok buluh yang sebahagian perdunya mencecah gigi air dan batang-batangnya yang tumbang mereba di atas permukaan air menjadi tempat ikan-ikan kaloi bermain-main sambil menyambar buah-buah ara masak ranum yang gugur ke atas air. Airnya mengalir laju membawa buih-buih menjadi tempat lampam-lampam jawa, lampam merah bermain arus. Jika diperhati betul-betul dapat dilihat ikan-ikan todak akan bersaingan menyosong arus.

Apabila tiba musim ikan mudik, boleh dilihat gerombolan ikan-ikan seluang mudik menongkah arus. Di kala itu juga dapat didengar deburan air di sana-sini menandakan si sebarau sedang menangkap mangsanya.  Dikala itu jugalah ramai yang berada di tebing-tebing sungai dengan batang pancing dan timba-timba merebut peluang memancing anak-anak seluang tamban dan seluang tebal sisik yang mudik ke hulu.

Pantainya berjajaran daripada pengkalan Kilang papan ataupun pengkalan penambang Pak Man sampan menganjur hingga ke pengkalan Pak Jang Kop, Tok Umai, terus ke pengkalan Tok Ganjil. Di kala itu air sungai mengalir lesu dicelah-celah jajaran pantai tatkala kemarau panjang.

 Dan ketika itu jugalah ianya menjadi tumpuan penduduk kampong untuk berkelah dan bermandi-manda, mencuci pakaian. Mencari siput remis. Mencari kedaya, mencari udang gantung dibawah-bawah kulit-kulit kayu balak di gigi-gigi pantai atau di dalam buluh yang terdampar. Diatas pantai jugalah kalau nasib tidak baik akan terserempak dengan sang buaya yang naik berjemur.

Bukan sahaja ada pelbagai jenis ikan di dasar lubuk sungai tetapi juga dihuni oleh sang bedal. Dalam erti kata sebenar sang buaya. Memang terdapat buaya di sekitar sungai berhampiran kampong aku. Ramai yang sudah terserempak. Tetapi sepanjang aku bermain sungai tidak pernah sekali aku bersua dengan sang buaya itu.

Tetapi jika ditanya Pak Rashid, Pak Ayob, Pak Deris, Pak Ganjil, Pak Dahaman dan beberapa orang lama yang lain bolehlah mereka  menceritakan pengalaman mereka bersua dengan reptilia itu dan sebesar mana saiznya. Ada yang berjumpa ketika menyelam menembak ikan. Ada yang berjumpa ketika menjala, ada yang berjumpa ketika ianya naik bersidai di tebing, berjemur di atas pantai. Ada yang terjerumuh dia melintas ketika mendayung perahu.

Memang ada buaya tetapi kemunculannya buaya cuma secara kebetulan dan bukannya dia sengaja hendak mempamerkan dirinya. Sebenarnya hubungan kami penduduk kampong dengan sang buaya cukup dijaga. Keceluparan amat-amat ditegah. Jangan bercakap atau menyebut buaya ketika di sungai, jangan mencuci kelambu di sungai, jangan mencampakkan kunyit, jangan jadikan cicak sebagai umpan pancing. Semua itu akan menyebabkan sang buaya muncul dan mengamuk.

Semua pantang larang itu ada kebenaran atau sekadar mitos sukar dipastikan. Pernah ada orang yang mencuci kelambu disungai ketika musim kemarau keesokkan harinya ada yang mendakwa ternampak buaya di sekitar tempat kelambu dicuci itu. Ada yang memancing menggunakan umpan cicak tetiba saja mengundang buaya timbul di permukaan menyebabkan lari lintang pukang. Entah samada kebetulan ataupun memang ada hubungkait.

Yang pasti setiap penduduk kampong Sisik Lantai dari kecil hinggalah ke dewasa semuanya cukup menjaga pantang larang itu. Yang utama keujudan dia dihormati dan dia juga tidak pernah diganggu. Hasilnya sejak dari dulu sehingga kini belum ada buaya-buaya yang mengamuk, menyerang mana-mana penduduk kampong ataupun membaham binatang seperti lembu atau kerbau yang turun minum air di sungai. kalau terjumpa pun sekadar terserempak dalam beberapa saat sebelum dia menjunam atau meluncur semula ke dasar sungai.

            Sungai juga begitu berharga dan memberi manafaat kepada penduduk kampong aku.  Hasil khazanah yang menghuni isi perutnya begitu banyak dan memberi peluang kepada penduduk kampong untuk menikmatinya asalkan rajin berusaha. Pelbagai cara, bukan saja dengan memancing tetapi juga dengan cara menjala, memukat, mengambat, menahan candik, dan yang lebih brutal mengebom serta menuba.

            Tetapi menuba merupakan satu kaedah cara yang boleh di kategorikan sebagai kejam kerana racun tuba boleh membunuh seisi lubuk daripada sekecil-kecil hingga ke sebesar-besar. Dari yang baru menetas hinggalah ibu-ibu dan bapa-bapa ikan.  Tuba ini sebenarnya dibuat daripada campuran ubi gadung dengan racun tengkorak kemudian dicurahkan ke sungai. Ubi-ubi gadung yang diracik kecil-kecil  yang bercampur dengan racun tengkorak itu akan di pagut oleh ikan-ikan kecil dan besar menyebabkan semuanya kemabukkan dan mati. Kaedah tuba ini faktor utama menyebabkan kepupusan ikan. Seingat aku dahulu terdapat ikan buntal di sungai kampong aku tetapi sekarang ianya terus kepupusan.

Dikhabarkan juga dahulu terdapat tuntung yang naik bertelur di tepi-tepi pantai. Tetapi aku tidak sempat berada dalam situasi itu kerana ketika zaman aku tiada lagi kelibat tuntung merangkak naik bertelur di atas pantai. Cuma sekadar mendengar cerita daripada orang yang lebih tua iaitu Abang Din anak Pak Jang Kop saja bagaimana keseronokan  mereka mencari telur tuntung di pantai bersama Wak Paiman, Leng, Omar Pendek, Pak Long Jusuh dan rakan mereka yang lain. Samada tuntung pupus ataupun berhijrah ke tempat lain tidak dapat dipastikan. Mungkin juga ianya salah satu lagi bahana racun tuba. Disebabkan itu  kaedah tuba ini membangkitkan rasa marah orang ramai.

            Bila tiba musim kemarau boleh dikatakan setiap hari ada saja aktiviti menangkap ikan diadakan sepanjang sungai. Apabila ternampak ada ikan yang hanyut di sungai, itu tandanya ada orang yang menuba ataupun mengebom ikan di bahagian hulu. Ramailah yang akan menerpa ke sungai dengan penyauk di tangan untuk menangkap ikan-ikan yang hanyut berkelampungan.

Tetapi jika ikan dari kaedah tuba terpaksa di belah perutnya secepat mungkin untuk mengeluarkan isi perutnya kerana bimbang racun tuba akan meresap ke dalam isinya dan memudaratkan jika dimakan kelak.

            Keesokkannya dapat dilihat digigi pantai ikan-ikan mati terdampar. Semuanya bahana bom ataupun tuba. Ada juga yang tersangkut di reba-reba kayu. Ada yang bersaiz sebesar dua tapak tangan dan lebih. Biasanya ikan-ikan yang besar terutama lampam merah atau lampam jawa lambat matinya dan dia jarang timbul di permukaan air. Ada kalanya bila terjumpa sudah pun mereput di reba kayu.

Seingat aku jika ayah aku mendapat ikan Lampam jawa sebesar dua tapak tangan pastinya akan dibuat bakar bantut. Bertambah nasi jadinya ayah aku tengahari itu. Tetapi bagi aku terpaksa terkial-kial memisahkan tulang-tulang daripada isinya. Memang sedap ikan sungai cuma perlu berhati-hati dengan tulangnya. Ikan sungai berbeza berbanding ikan laut. Ikan sungai tulang lebih banyak dan jika tidak berwaspada akan tercekik jawabnya.

Ada yang dibelah belakang dan dijemur untuk dijadikan ikan kering. Ikan sungai kering jika digoreng garing-garing memang boleh menghabiskan seperiuk nasi. Sedap juga kalau dimakan dengan pulut tanak.

            Kaedah kedua yang digunakan dengan cara mengebom. Bahan letupan ataupun bom yang digunakan ‘hak kerajaan’ dibawa balik yakni diseludup oleh mereka yang bekerja sebagai tentera. Bahan letupan yang dikenali sebagai ‘belacan’ akan di campakkan ke lubuk-lubuk ikan antaranya lubuk Kuala Sisik Lantai serta gugusan lubuk-lubuk sepanjang Kampung Sisik Lantai iaitu Lubuk pokok pisang, Lubuk Jawi, Lubuk Tok Jahaya atau mana saja tempat-tempat ikan bersarang. Berdentum. Terbongkarlah isi lubuk, bercemperalah orang ramai tunggang langgang berebutan menyauk dan menangkap ikan-ikan yang timbul kepeningan dan kemabukan.

            Wujud juga saintis ataupun pakar bom di Sisik Lantai (siapakah saintis itu perlulah dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan negara. Tapi sekarang saintis tu dah letak jawatan....dah insaf). Hasil gabungan sodium, belerang dan arang diisikan padat ke dalam batang besi. Seterusnya batang besi yang padat dengan bahan letupan itu dibalut kemas-kemas dengan getah tayar motosikal. Penuh hati-hati sebab bahan letupan dalam besi memang sensitif pada geseran dan sedikit percikkan api  boleh menyebabkan ianya meletup.

Mujurlah sepanjang aktiviti membuat bom itu berjalan tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini terjadi.  Mentol lampu picit yang di pecah sedikit kacanya disambung pada wayar kemudian dimasukkan untuk dijadikan bahan peledak. Wayar itu kemudiannya akan di lekatkan pada bateri sekali gus meledakkan bom tersebut.

            Dengan kepakaran yang ada, pantang musim kemarau maka berdentumlah  setiap lubuk, berkemutihlah ikan-ikan timbul ke permukaan bagaikan bunga air dan ramai-ramai turun menangkap umpama satu pesta.  Begitu jugalah pantang ada batang besi pastikan akan disonglap untuk di jadikan bom. Tak kira besi papan tanda atau besi apa pun yang bersesuaian. Terlepas pandangan mata orang ianya akan di tanggung ke rumah saintis. Dipotong, di pateri untuk dijadikan kelongsong bom.

           Menuba dan mengebom adalah kaedah bagi ‘menyerang’ kawasan lubuk-lubuk yang dalam. Tetapi bagi kawasan-kawasan yang cetek akan di serang mengunakan senapang tembak ikan. Senapang tembak ikan diperbuat daripada kayu dan besi yang di tajamkan dibahagian depan dan dibuat ‘wet’ bagi menyucuk badan ikan. Besi itu dilancarkan menggunakan getah terebe.

            Dengan senapang tembak ikan, cermin dan tali penyucuk untuk menyucuk ikan, habis segenap kawasan yang mempunyai  tunggul-tunggul kayu diselam, digeledah. Ikan teroboi, pucuk pisang, temperas, ikan kaloi, ikan patung dan udang galah akan menjadi habuan. Itu pun bergantung kepada kecekapan dan daya tahan nafas yang tinggi barulah boleh mendapat habuan yang baik.

            Bagi diri aku sekadar tunggul-tunggul kayu dikawasan cetek bolehlah aku ‘takluki’ . kalau tempat yang dalam memang aku surrender. Biasanya tempat yang jadi tumpuan aku dengan geng-geng aku sekadar tunggul-tunggul kayu dibawah-bawah rimbunan pokok teberau. Di kawasan-kawasan yang airnya separas pinggang.  Satu lagi tempat tumpuan kami iaitu ‘lubuk kereta’. Hairan bin ajaib juga bagaimana kereta jenis Opel boleh berada dalam sungai. Tersadai di tepi pokok teberau di hujung tanah Tok Chik Dahaman.  Tak kisah macamana dia boleh ada di situ yang kami tahu situlah tumpuan kami mencari ikan teroboi sebesar dua jari.

            Tidak ketinggalan juga memancing ikan seluang di kawasan ‘kok’ berhampiran pengkalan Tok Jahaya. Kawasan ‘kok’ ini sebenarnya kawasan parit ataupun permukaan terjahan air dari parit yang membawa segala air dari pekan Kuala Ketil. Parit yang memanjang merentasi kampong dari Pekan Kuala Ketil. Parit yang menjadi saluran pembuangan air dari pekan Kuala Ketil.

Parit yang juga sentiasa mencetuskan kontrovesi antara Ropiman dengan pihak Majlis Daerah Baling. Kontrovesi yang timbul akibat parit ini tidak diselenggara dengan baik oleh pihak Majlis Daerah dan sering saja tersumbat dengan sampah sarap sehingga menyebabkan air melimpah ke tanah Ropiman dan menenggelamkan ladang tebunya sehingga menyebabkan dia kerugian.

  Parit ini kedudukannya membelah tanah Ropiman terus menganjur  diantara sempadan tanah Deben ataupun Tokngah Buyung Alias dengan tanah Tok Jahaya dan terus ke sungai. kawasan ini terkenal dengan panggilan ‘kok’ oleh penduduk kampong kami. bukan setakat air malahan segala  aneka jenis sampah sarap yang di bawa air turut ‘menjunam’ di kawasan kok ini menyebabkan sekitar kawasan ini di timbuni sampah sarap. Salah satu ‘egen’ penyebab sungai tercemar bermula dari kawasan parit ini.

Selepas hujan lebat berhenti, banyak anak-anak seluang berebut-rebut memagut sampah sarap yang hanyut dari parit kok. Kesempatan inilah yang diambil untuk mencampakkan mata kail berumpankan cacing. Lenguh tangan jadinya menyentak anak seluang tebal sisik dan juga seluang tamban sebesar satu jari.

Kawasan kok ini juga menerima pemancing setia iaitu Tok Lang Halimah dan Tok su Limah. Keduanya merupakan pemancing setia di sekitar kawasan kok ini dengan batang pancing berkalakkan ‘kampul benang’ . Unik sekali sambil asap rokok Benson N Hedges berkelun ke udara.



Kampung Sisik Lantai: Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian II)


Kalau dijengah kembali ke masa silam. Sebatang jalan tanah merah merentasi dan menjadi landasan penduduk ulang-alik ke pekan. Jalan tanah merah. Sekiranya musim hujan ianya akan menjadi becak seperti sawah bendang. Selut-selut tanah merah akan  membalut  selipar serta memberatkan kaki. Juga turut  menyeliputi tayar basikal sehingga menyebabkan pergerakan tayar tersekat. Ranting kayu terpaksa dicari untuk mencungkil selut-selut tanah merah yang bertempek di cabang semanggang basikal.

Ketika ke sekolah , aku bermegah duduk di atas pelantar basikal tanpa secalit pun selut tanah merah menyambar kasut sekolah aku. Basikal terpaksa disorong oleh ayah aku disebabkan kesukaran untuk mengayuh kerana jalan licin dan selut tanah merah yang agak menyukarkan pergerakan.

 Nasib yang sama juga ditempuhi oleh penduduk kampong yang lain yang mana sekejap-sekejap terpaksa berhenti dan mencungkil selut-selut di semanggang basikal.

Bagi yang berjalan kaki terpaksa meredah selut tanah merah. Terpaksa berjalan kaki ayam dan menjinjing kasut sekolah hingga tiba di kepala simpang depan kampung kemudian ramai-ramai menuju ke telaga Tok Nah untuk mencuci kaki bagi mengenakan kasut sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah. Penuh jadinya telaga Tok Nah dan masing-masing terpaksa menunggu giliran kerana timba untuk menceduk air cuma satu.

Itu sekiranya musim hujan. Sebaliknya jika musim kemarau lain ceritanya, jalan tanah merah akan bertukar menjadi kering dan berdebu. Kasut sekolah yang putih bertukar menjadi kemerah-merahan disaluti debu. Tidak ketinggalan baju sekolah yang putih turut berubah warna. Pergerakan basikal tidak lagi tersekat. Perjalanan orang kampong jadi lancar dan lengganglah telaga Tok Nah kerana tidak ada sesiapa perlu lagi singgah untuk cuci kaki.
           
Bagi budak-budak kampong bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil atau lebih dikenali sebutan sekolah melayu dikalangan penduduk. Maka mereka meneruskan perjalanan ke sekolah yang terletak lebih kurang satu kilometer berhampiran masjid jamek Kuala Ketil.

Bagi budak-budak yang bersekolah di sekolah Batu Pekaka yang orang kampong panggil sekolah ‘orang putih’ terpaksa menunggu bas sekolah di depan kampung sambil melepak diatas batang-batang balak yang bergelimpangan bersulamkan pokok kapal terbang di simpang masuk kampong kami itu.

Sekolah Rendah Batu Pekaka dan sekolah Menengah Kuala Ketil atau SMKK Batu Pekaka terletak kira-kira 3 kilometer dari kampung aku. Pengangkutan pada masa itu bas sekolah Ah Meng dan bas Joni juga bas Ah kau.  Tapi ramai juga yang menaiki basikal melalui ladang getah ke sekolah terutama sekali budak-budak lelaki. Ada yang ke sekolah ada yang melencong dan ‘bersekolah’ didalam ladang getah dan kelapa sawit.

Satu lagi benda yang samada boleh dikatakan unik atau tidak  yang ada di kampung aku dan tidak ada dikampung lain iaitu kandang dan rumah penyembelihan babi.

Mungkin juga ianya unik sebab berkedudukan di pinggir kawasan tinggal orang melayu. Bagi orang luar pula ianya sesuatu yang janggal dengan adanya kandang babi di kampong aku itu.

Tapi bagi kami penduduk kampung mungkin terpaksa menerima seadanya dalam keterpaksaan keujudan kandang babi ini. Keujudan kandang babi yang terletak di atas tanah milik cina ini sudah sekian lama. Tak dapat aku nak pastikan sejak tahun bila atau sejak kurun ke berapa ianya bertapak disitu. Di depan simpang masuk kampung.  Yang aku tahu celik-celik saja mata aku sudah ada  kandang babi tercogok di situ.

Alah bisa tegak biasa..perpatah melayu. Bagi kami penduduk tua dan muda keujudan kandang babi seakan sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada fizikal kampung kami. Mungkin disebabkan keujudan dia sudah lama dan ianya seakan sudah menjadi sebahagian dari kampong ini.

Dan sudah menjadi kebiasaan bagi rumah-rumah yang berdekatan iaitu rumah Tok Nah, Pak Man Pomen, Pak Rashid air tebu, Tok Saad Ceti seawal jam 5 pagi akan mendengar riuh rendah bunyi babi di sembelih ataupun ditikam.

Selalunya ketika orang kampong keluar bekerja dan budak-budak keluar ke sekolah masa yang sama jugalah cina apek yang bersingklet kusam dipenuhi darah babi akan membawa keluar babi yang sudah dibelah dua tergedang di atas pelantar basikal tuanya tanpa mempedulikan air bercampur darah babi meleleh menitik sepanjang jalan. Meloya dan hendak termuntah jadinya dengan baunya yang hanyir. Dibawa ke pekan kuala ketil untuk di jual kepada pemakan-pemakan daging itu.

Kesan sampingan kandang babi ini mengeluarkan bau yang busuk. Bau najis babi cukup busuk dan mengganggu sistem pernafasan orang-orang kampong yang menunggu bas di kepala simpang atau melintasi kandang itu.

Apabila ditiup angin tak ‘tenteram’ juga jadinya pernafasan di sekitar rumah Pak Rashid, Pak Man Pomen dan yang berdekatan. Begitu juga sekiranya sedang menunggu bas di kepala simpang biasanya pernafasan kurang selesa kerana ruang udara yang tercemar dengan bau busuk pekat kelat najis babi.  Ini disebabkan kedudukan kandang babi yang hampir benar dengan kepala simpang pokok ubi tempat menunggu bas.

Macam-macam juga bentuk pedajal yang kami buat kat kandang babi ini, lontarkan mercun (mercun katak yang top masa tu), lastik, campakkan kura-kura. Kata orang babi takutkan kura-kura. Entahlah betul atau tidak.  Tapi kami tak berapa berani hendak rapat sangat kandang itu bimbang takut-takut terjerumus dalam parit air najis babi. Jenuh bersamak nantinya.

        Walaupun sudah ‘lali’ tapi Keujudan kandang babi ini tetap merimaskan penduduk kampong tapi tiada apa dapat dilakukan kerana jawapan tauke babi itu pastinya ‘ Wa punya tanah ma..’ sebab ianya dibina di atas tanah milik dia. Lagi pulak keujudan dia memang sudah lama di situ. Mahu tidak mahu biarkan saja walaupun ramai orang yang tertawa Kampung Sisik Lantai ada kandang babi.