Selasa, 5 November 2013

Sambutan Maal Hijrah 1435 H pada 04/11/2013

            1 Muharram 1435 H bermakna bermulalah  bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam yakni Kalendar Hijriah.

              Manakala Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (Shahrullahi). Ini bermakna bulan Muharrram merupakan bulan kedua mulia selepas bulan Ramadhan.

Ini berdasarkan daripada Al-Hassan Al-Basri Rahimahumullah : 
Sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

       Selain peristiwa besar iaitu penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekah ke Madinah pada Tahun 622 Masihi banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam bulan Muharram ini antaranya :
                    *         10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa   penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

         *      Selain itu dalam bulan ini juga Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

          *      Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

          *      Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

Dan banyak lain peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Muharram ini.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah ini juga, Surau Kampong Sisik Lantai mengadakan majlis bacaan doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun. Turut diadakan bacaan yassin.



                                             Majlis di ketuai oleh Tn. Hj. Almunawar

Dan buat pertama kalinya juga surau ini memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada dua orang insan yang sangat berjasa kepada surau kampong ini. Walaupun hadiah ataupun anugerah ini amatlah kecil nilainya berbanding jasa bakti kedua mereka ini.  Tetapi hadiah ini diharapkan  dapat dijadikan  ingatan dan kenangan buat keduanya sebagai tanda  sesungguhnya   jasa dan bakti mereka tidak pernah dilupakan oleh anak kariah kampong Sisik Lantai ini.

Penerima pertama hadiah Maal Hijrah ini di berikan kepada Tn. Hj. Din bin Daud dimana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab sehingga terujudnya sebuah surau di kampong Sisik Lantai ini. Beliau juga amat banyak memainkan peranan dalam menghidupkan aktiviti surau  dengan pelbagai program keagamaan seperti kuliah-kuliah agama, meraikan hari kebesaran islam dan pelbagai lagi program-program pengimarahan.


Jaafar Nordin mewakili Tn. Hj. Din b. Daud
yang tidak dapat hadir

Hajah Aminah binti Malim @ Toksu 
menerima hadiah

Selain itu juga beliau menjadi orang utama yang mengepalai setiap majlis bacaan-bacaan yasin, majlis tahlil, majlis doa selamat baik di surau ataupun dirumah-rumah anak kariah surau kampong Sisik Lantai ini.

Bukan sahaja jasanya sebagai Imam di surau ini, jasa beliau juga amat besar terhadap kampong Sisik Lantai ini amnya yang mana beliau merupakan Pengerusi JKKK bagi Kampung Sisik Lantai ini.

Sementara penerima kedua pula Pn. Hajah Aminah binti Malim atau lebih dikenali sebagai Toksu Minah tidak kurang besar jasanya kepada surau kampong ini. Dengan ilmu yang ada serta kesabaran yang tinggi beliau mengajar  anak-anak kampong mengenal huruf Alif Ba Ta hingga seterusnya dapat membaca ayat-ayat suci al-quran dengan lancarnya.

Selain itu juga biar pun hujan, biar pun ribut, biar pun petir sabung menyabung  keadaan surau akan tetap bersih dan kemas. Sejadah akan terhampar rapi setiap kali tibanya waktu sembahyang. Tahi cicak tidak kelihatan diatas lantai. Surau bagaikan rumah kedua bagi beliau. Tidak pernah duduk diam dan Sentiasa sibuk membantu setiap kali ada majlis-majlis di surau.

Walaupun kini kudratnya semakin terbatas namun ingatan dan kecintaannya Toksu Minah terhadap surau ini tetap kuat dan utuh.

            Ini merupakan pertama kali anugerah atau hadiah seumpama ini diberikan sempena Maal Hijrah ini dan insyaallah anugerah seperti ini akan diteruskan lagi di tahun-tahun hadapan dan akan diberikan kepada mereka-mereka yang banyak berjasa dalam membangunkan surau dan kampong ini amnya.

            Walaupun hadiah tidak seberapa nilainya namun ini adalah tanda terima kasih atas jasa yang ditaburkan dan sesungguhnya ianya akan dikenang sentiasa oleh anak kariah kampong ini.
 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan