Selasa, 16 Julai 2013

Ramadan 1424 H....Silalah bertamu

  Alhamdulillah…..ramadan datang lagi dan Alhamdulillah juga tahun ini kita terus diberikan kesempatan dan dalam kesihatan yang baik daripada Allah swt untuk ‘mengutip’ sebanyak mungkin pahala yang ‘bertebaran’ dan 'bertaburan' disepanjang bulan Ramadan ini. 

Alhamdulillah juga surau Kg Sisik Lantai dipenuhi dengan anak-anak kampung yang berkumpul mengerjakan solat terawih. Paling membanggakan majoriti jemaah ramai dikalangan anak-anak muda. Pun begitu golongan pertengahan dan golongan tua tidak juga terkecuali meramaikan surau dan bersama mencari pahala solat terawih.

     Namun kehadiran anak muda dilihat membawa satu arus perubahan dan sekali gus mengubah persepsi orang ramai bahawa anak muda ‘taik kuda’. Ini sesuatu yang membanggakan. Namun diharapkan ianya tidaklah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Malam pertama kedua dan ketiga surau dipenuhi hingga mendatangkan kerisauan takut-takut rasuk surau patah dek kerana tak dapat nak menampung jumlah jemaah yang ramai. Selepas pada itu akan beransur berkurangan dan bila menjelang malam-malam ke belasan atau puluhan yang tinggal tercongok  ‘pelanggan biasa’ yakni jemaah tetap surau saja.

 Apa pun kita harapkan ianya tidak akan terjadi dan kita harapkan surau kita akan kekal meriah dengan laungan selawat sehingga ke malam terakhir Ramadan. Dan apa yang lebih kita harapkan iaitu surau kita yang meriah dan penuh seperti sekarang  ini akan membawa ke malam-malam biasa yakni malam-malam selepas Ramadan berlalu meninggalkan kita nanti.

       Pada  tahun ini surau kampung ini amat bertuah sekali kerana solat terawih diimamkan oleh Ustaz Ariff salah seorang pelajar Kolej Insaniah.  Alhamdulillah tempiasan daripada ujudnya sebuah kolej universiti  Islam iaitu Kolej Universiti Insaniah yang berada di Kuala Ketil ini dapat dirasakan oleh penduduk Kg. Sisik Lantai ini. Ini salah satu rahmat dan nikmat yang tidak ternilai harganya yang dikurniakan oleh Allah swt kepada penduduk Sisik Lantai ini.

     Dalam mengerjakan ibadat, tuntutan hidup juga tetap perlu diteruskan. Peluang yang ada tetap direbut oleh anak muda kampung untuk mencari pendapatan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


bazar ramadan Kuala Ketil

Ramai dikalangan anak muda kampung yang bergelar ‘saudagar’  dalam bulan Ramadan ini dengan ‘berdagang’ di bazar Ramadan. Ada yang berdagang aneka minuman, kuih muih, ayam golek dan sebagainya.


       Ramadan bulan yang memberi banyak syafaat. Bulan untuk umat islam berlumba-lumba membuat amal ibadat disamping itu juga bulan orang berlumba-lumba mengejar rezeki. Bukanlah menjadi satu tegahan tetapi keduanya harus seimbang. Yang penting keduanya harus berteraskan ibadat.

      Tidak salah berlumba berniaga tetapi nawaitu itu yang maha penting bukanlah kesempatan yang kita ambil sempena Ramadan ini. Dalam kerja buat kita yakni berniaga biarlah dalam keikhlasan. Barang dagangan seperti makanan baik lauk pauk, kuih-muih dan sebagainya biarlah disediakan sebaiknya bukanlah disediakan secara ‘halai balai’. Jangan terkurang manis, terlajak masin. Ada yang kalau dilihat dari segi rupa memang nampak ‘sedap’ ( dalam keadaan puasa apa saja nampak sedap) tetapi bila dibeli rasanya..hampeh.

Jangan kita mengambil duit orang secara mudah. Kita kena sedar setiap ringgit yang kita ambil dari pelanggan terhasil dari titik peluh mereka yang mereka usahakan secara halal dan bersusah payah. Ada yang menoreh, kerja kontrak dan sebagainya. Jerit  perih mereka dapatkan duit perlu juga kita fikirkan. Jangan fikirkan keuntungan kita semata-mata.

Biarlah kita berada dalam situasi ‘menang menang’ . Makanan kita sediakan sedap dan pelanggan pula berpuas hati mengeluarkan duit. Jangan sampai pelanggan menyumpah seranah dirumah akibat makanan yang kita sediakan cuma ‘indah khabar dari rupa’.

Bagi para peniaga sebenarnya selain mendapat keuntungan, pahala juga dapat dikutip. Bak kata pepatah orang putih ‘ kill two birds with one stone’. Semua ini bergantung pada niat dan kerja buat kita. 

 Kalau kita memasang niat ‘berdagang’ barang makanan bagi membantu orang-orang yang sibuk berkerja dan  tidak mempunyai masa untuk menyediakan juadah berbuka.  Ditambah dengan makanan yang kita sediakan itu sedap dan enak serta tidak ‘halai balai’..insyaallah selain mendapat pulangan duit malah ianya akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah swt atas nawaitu kita itu..insyaallah. 

                   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan