Rabu, 11 April 2012

Bangganya Anak Kedah Darul Aman


                                              Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim
               
             Sebagai rakyat jelata negeri kedah semestinyalah terasa kembang dan bangga apabila ‘ayahanda’ yang di cintai Kebawah Duli Sultan  dilantik sebagai Yang Dipertuan Agung. Lebih membanggakan lagi perlantikan ini adakah bagi kali keduanya. Ini bermakna sudah dua kali ‘Negeri Kedah’ memayungi Negara Malaysia. Lebih membanggakan lagi apabila Sultan kita menjadi Yang Dipertuan Agung pertama mendiami Istana Negara  yang baru siap dibina. Kata orang sultan kita first ‘koyak plastik’ istana Negara.

             Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mua`dzam Shah diputerakan pada 28hb November 1927 di Istana Anak Bukit. Tuanku Sultan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran Baginda di Kolej Sultan Abdul Hamid (1946-1949).   

             Pada Februari 1949, Baginda berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford di dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam. Sewaktu di England, pada tanggal 6hb Ogos 1949, Baginda telah ditabalkan sebagai Raja Muda Negeri Kedah Darul Aman. Sekembalinya ke tanah air dalam tahun 1955, Baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Star dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.

             Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus. Almarhumah merupakan Puteri Sulung Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga merupakan Yang DiPertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

               Hasil Perkahwinan DiRaja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga orang puteri iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Soraya, Yang Teramat Mulia Tunku Sarina (mangkat) dan Yang Teramat Mulia Tunku Puteri Intan Safinaz.


                  Baginda ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar, Alor Star. Baginda dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke-5 diantara tahun 1970 sehingga tahun 1975. Pada tanggal 21hb September 1970, Baginda dan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah ditabalkan dengan rasminya sebagai Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

                    Pada tanggal 26hb Ogos 2003, Negeri Kedah Darul Aman menyaksikan kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Bahiyah di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Star, Kedah yang amat dikasihi seisi keluarga dan rakyat jelata di Negeri Kedah Darul Aman. Semoga Allah memberkati dan mencucuri rahmat ke atas roh Baginda.

                    Pada tanggal 9hb Januari 2004, telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang permasyuran Yang Mulia Che Puan Hajjah Haminah binti Haji Hamidun sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah. Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan dan berkahwin dengan Tuanku Sultan pada tanggal 25hb Disember 1975.

                    Keprihatinan Baginda jelas terbukti apabila Baginda berangkat setiap hari ke Pejabat Baginda di Wisma Darul Aman, Alor Star iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Ini adalah kerana Baginda mahu merapatkan diri dengan kerajaan bagi memudahkan system pentadbiran Kerajaan Negeri melalui sesi perbincangan dengan Menteri Besar pada setiap minggu, Baginda akan dimaklumkan mengenai hal ehwal dan polisi pentadbiran negeri.

                    Selain golf, semasa muda, Tuanku Sultan juga gemar bermain tennis dan billiard.Walaupun Baginda gemar bersukan, namun baginda turut mempunyai bidang hobi yang lain seperti fotografi dan melancong.

                     Baginda juga amat berminat dengan pemeliharaan haiwan di Istana Anak Bukit. Terdapat koleksi besar burung-burung tropika seperti burung kakak tua dan merak, termasuk haiwan seperti ikan eksotik, rusa, kera dan kuda diperkarangan Istana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan