Mentara dan
Kenduri
Jalinan kemuafakatan antara penduduk kampung Sisik lantai tidak dapat dinafikan ujud sejak dulu lagi dan masih segar hingga sekarang ini. Jalinan ini dapat dilihat dengan jelas sekiranya ada sesuatu majlis kenduri.
Bagi aku dan geng-geng aku iaitu Awang Saud, Ajis Semiji, Anun, Awat turut tidak terkecuali dalam menyertai jalinan kemuafakatan ini. Bermula sebagai mentara di rumah kenduri. Pak Jang Kob (Al-fatihah buat
beliau) orang pertama yang membawa kami sertai mentara di rumah kenduri. Mungkin kerana dia
merasakan sudah tiba masanya kami-kami ini buat sesuatu daripada buang masa.
Sesunguhnya perasaan seronok tak terkira bila boleh sertai geng
mentara. Seronok disebabkan mula merasai diri kami dihargai dan diiktiraf untuk
mencurahkan bakti buat penduduk kampong.
Kumpulan mentara Sisik Lantai
dulu memang agak terkenal. Memang ramai ahlinya termasuk gabungan dengan
budak-budak Kubang Hong antaranya Pak Su Wak Abu, Kang, Salim Menan, Achit panjang,
Fozi Tok Awang Trektor dan satu dua orang budak Taman Batu Pekaka seperti Man
Tuak, Mi Harun, budak Taman Dato’ Haji Muslim Li Kabat, Awang Kudung, Shah
Kaloi , budak Pekan Lama Lan Renyih dan At.
Budak-budak mentara Sisik
Lantai antaranya Wahid, Mat Robin, Aman, Ani, Jefri cucu Paklong Jusuh, Eder,
Ajis Senget, Anuar Samijo, Ari Man, Ajis komando, Malek, Azam, Mael Pak Rashid,
Bahaman, Badeli, Ajis Tok Mud, At, Pa Paksu At, Chop remos, Pe Pak Man Toyo,
Sani. Itu geng yang senior geng yang junior pula selain aku, Awang Saud, Anun,
Ajis Samiji, Awat, Zam samijo, Mail Toge, Lan Che Me, An Pak Abu, Leman, Nan, Din, Li
Bang Hashim, Yusri. Ramai lagi sebenarnya yang nama mereka tidak dapat aku
ingat. Tetapi yang nyata bila ada sesuatu majlis kenduri, hampir 20 puluh orang lebih mentara yang turun
dengan uniform baju pagoda putih.
Dengan tenaga yang ramai kerja
menjamu tetamu menjadi lancar dan tersusun. Tambah-tambah akan lancar bila
terdapat ramai mentara perempuan yang turut sama mencurah bakti. Bukan main
rajin lagi malah berebut-rebut menghantar hidangan ke khemah perempuan. Pakaian
juga bukan main melawa lagi. Dengan kasut kulitnya dan berspek mata hitam
segala.
Biasalah jiwa remaja cuba-cuba
masuk daun. Dulu mentara pompuan juga terdiri dari anak-anak dara bukan seperti
sekarang ini yang rata-rata mentara perempuan terdiri dari kaum veteran.
Mungkin itu faktor ketiadaan anak muda yang hendak menjadi mentara sekarang ini
sebab tak ada ‘bunga-bunga’ yang mewangi. Yang ada hanya bunga ‘taik ayam’.
Dulu kepatuhan kepada Ketua Mentara
memang tinggi. Keadaan juga tidak berkecamuk dan ianya begitu tersusun.
Sekiranya diperlukan hidangan untuk tetamu, ketua mentara akan menyuruh ahli
mentara bersedia. Contohnya 3 talam. 3 talam bermakna 3 set lengkap seperti air
basuh tangan, air minuman, nasi dan lauk-pauk. Sekiranya 3 talam diperlukan di
sesuatu khemah. Bermakna 12 tenaga mentara diperlukan. Pada masa dahulu mana ada bufet-bufet segala.
Seorang akan membawa air basuh
tangan, air minuman, seorang nasi dan seorang lauk. Pergerakan juga selari
dimana bukan terus hantar sebaliknya semuanya bersedia berkumpul dengan benda
yang hendak dibawa dan apabila mendapat arahan dari ketua mentara barulah
ketiga-tiga set hidangan itu di hantar serentak ke khemah.
Didahulukan dengan air basuh tangan dan air
minum diikuti dengan nasi dan lauk. Ikut susunan dan nampak lancar dan tertib
tidak seperti sekarang ini yang mana nampak agak kelam kabut dan bercelaru.
Ketertiban inilah yang membuatkan ramai yang tertarik dan menjemput pakatan
mentara Sisik Lantai menjayakan kenduri di rumah mereka walaupun di luar
kampong Sisik Lantai.
Setiap orang mentara akan
diberikan bunga yang dipakaikan di baju dan sehelai tuala kecil Good Morning. Bunga dipakaikan sebagai
tanda ianya salah seorang tenaga kerja dalam kenduri itu. Bagi kami mentara
penerimaan bunga itu seolah satu tali
yang mengikat agar pulang jam 5.00 petang. Mana-mana tuan kenduri yang berada,
bunga akan di buat menggunakan duit kertas seringgit yang digubah.
Mentara juga turut diberikan rokok
dunhill 14 batang. Ianya bagaikan sesuatu yang wajib tuan kenduri untuk
sediakan rokok pada mentara. Hanya rokok jenama dunhill, sekiranya rokok benson
& hedges muka mentara sedikit ‘ketat. Kerana rata-rata tidak menggemari
rokok jenama benson kerana dikatakan terlalu ‘lembut’ dan tak ada ‘kick’
berbanding Dunhill.
Bagi kami yang masa itu masih
boleh di kategorikan bawah umur turut
mendapat seorang sekotak kerana sudah menjadi ‘piagam’ setiap yang menjadi
mentara akan mendapat sekotak rokok tidak mengira walaupun dia masih di bawah
umur. Biasanya aku terpaksa bawa balik
ke rumah. Tapi ada juga yang ‘menyelit’. Maka berasaplah pokok cenerai di
tebing sungai hujung tanah Tok Seman Beras. Terkadang dijual kepada Ane kedai
station bas dengan harga murah berbanding harga asal. Murah pun murah asalkan
dapat duit.
Selesai sesuatu majlis kenduri
biasanya pukul 5.00 petang bermakna tamatlah tugas para mentara. Sebelum pulang
Pak Su At Cerut (Al-fatihah buat beliau) akan menyuruh tukang bancuh air sediakan
air teh beserta kuih-kuih untuk dijamu para mentara. Tuan rumah juga akan
berikan bunga telur, bungkusan kuih dan ada yang memberikan sabun.
Sebelum semua pulang ketua
akan arahkan semua mentara berjumpa dan bersalaman dengan tuan rumah. Sopan dan
tertib. Disebabkan itu jugalah mentara Sisik Lantai agak terkenal di sekitar
Kuala Ketil dan khidmatnya turut di diguna diluar dan tidak hanya termaktub di
kampong Sisik Lantai sahaja.
Selepas Pak Jang Kop mengundur
diri Pakatan Mentara diambil alih oleh Pak Su At Cerut , Abang Din dan Bang Li
driving school. Ketika dibawah Pak Su At cerut dan Bang Din kami menjadi
semakin aktif seiring dengan umur kami yang kian meningkat. Tambahan pula ramai
mentara senior yang sibuk dengan komitmen kerja ada juga yang telah berhijrah
kerja di tempat lain. Ada yang memasuki tentera, polis dan sebagainya.
Tinggallah kami yang junior mengambil alih meneruskan legasi mentara Sisik
Lantai.
Suasana kenduri dahulu memang
berlainan dengan sekarang dan dirasakan kenduri dahulu lebih meriah lagi.
Bermula dari awal kenduri sehingga habis selesai segalanya. Semuanya dilakukan secara
gotong royong dengan semangat muafakat yang cukup tinggi. Kenduri dalam suasana
yang tidak selengkap sekarang tapi dapat dilakukan dengan semeriahnya. Kenduri
dalam suasana yang tidak mempunyai kelengkapan kerusi dan khemah, dapur dan
segalanya seperti mana sekarang.
Masih aku ingat lagi dahulu
jika ada sesuatu majlis kenduri tumbanglah pokok pinang dan pokok buluh untuk dijadikan
tiang khemah, meja dan juga kerusi. Sekumpulan orang akan menebang dan
mengusung batang-batang pinang ke rumah kenduri. Terkadang itu dari hujung kampong dibawah di tengah
kampong. Perit rasanya bahu. Tetapi atas semangat kejiranan sakit melecet bahu
tidak terasa. Yang penting kenduri dapat dijayakan walaupun itu bukan kenduri
dia tetapi cara khidmat yang dicurahkan seakan majlis kenduri dia.
Batang-batang pinang
dipotong-potong. Ada yang dijadikan tiang khemah, tiang meja dan kemudian
dibelah-belah dibuang pulur untuk dijadikan tempat letak punggung. Bukannya
mudah melakukan semua kerja-kerja itu. Bukan itu saja ianya juga mengambil masa
hampir sehari untuk siapkan meja panjang dan kerusi panjang untuk tetamu duduk
menjamu selera. Tetapi sikap bantu-membantu memudahkan segalanya. Bumbung pula
biasanya kain terpal lori. Ada juga yang menambahnya dengan memasang kain
paracut tentera.
Bagi yang berada akan memasang
‘balai’. Ini kerana balai ini perlu disewa. Balai diperbuat daripada kayu yang
disambung menggunakan skru. Kalau masih ada sekarang ini mungkin namanya diubah
kepada ‘gazebo’. Bukan semua kampong mempunyai balai ini. Yang ada balai ini
ialah Kampung Batu Satu.
Kegunaan balai memang banyak
sekali. Menjadi tempat kaum ibu menyiang bawang sambil berborak-borak, kata
mengata, gossip mengossip. Sebelah malam menjadi tempat orang bermarhaban dan
tengah malam menjadi tempat sanak-saudara melelapkan mata bergelimpangan. Bagi
yang berkemampuan menjemput kugiran, di atas balai ini juga yang menjadi pentasnya.
Yang lain akan sibuk membuat
tempat masak yang dipanggil gedehok.
Membuat tempat masak tidak kurang teruknya. Terpaksa mengali tanah untuk
dijadikan dapur. Gali sedalam kira-kira dua kaki berbentuk bulat dan dibuat
tempat mengisi kayu api. Sekali imbas bentuknya seakan lubang kunci. Bukan sembarangan orang yang boleh gali dapur
hanya yang berkemahiran saja yang ditugaskan untuk membuat kerja itu.
Kebaikan dapur daripada tanah apinya
tidak mudah ditiup angin dan baranya dapat memasak nasi dengan eloknya.
Selalunya selepas habis kenduri lubang dapur akan tetap kekal di rumah tuan kenduri. Ada yang sampai menimang
cucu tiang khemah yang dibuat dari batang pinang masih bercacak di halaman
rumah.
Kalau di singkap semula
kerja-kerja kenduri dulu tidak banyak bezanya dengan sekarang ini. Yang berbezanya ialah
bahan-bahan untuk melaksanakan majlis kenduri itu. Sebelum sesuatu majlis
kenduri bermula sama seperti sekarang ini mesyuarat kerja kenduri akan
dilakukan. Pembahagian kerja diatur daripad A sampailah ke Z. Tapi setengah-setengah
kerja yang diamanahkan kepada seseorang bukanlah mudah seperti sekarang.
Contohnya bahagian penyediaan
air gincah atau air untuk kegunaan kenduri. Kalau sekarang ini begitu mudah cuma
cucukkan getah paip dan tarik saja kemana. Tapi dahulu tukang jaga air gincah
ini perlu mengunakan enjin dan sedut air telaga. Dia bertanggungjawab sepenuhnya untuk
pastikan bekalan air kegunaan kenduri lancar. Jika engin buat hal, berkali-kali
di start enginnya tetap tidak mahu
hidup berpeluh jadinya si tukang air gincah. Apa cara pun air perlu disediakan
untuk kegunaan tukang masak. Itulah perbezaannya antara dulu dan sekarang.
Penyediaan air minuman iaitu
air merah juga agak unik terutama dari segi simpanan ais. Dahulu ais
didatangkan dalam bentuk empat segi kemudian di masuk dalam guni diisi dengan
habuk kayu. Ais tadi kemudiannya akan ditanam di tempat redup bagi
mengelakkannya cepat cair. Sekiranya bekalan ais habis akan digali di pecahkan
dicuci kemudian masukkan dalam balang air. Selebihnya akan ditanam semula untuk
elakkan dari cair.
Dari segi jemputan. Dulu tidak
menggunakan kad hanya dengan panggilan mulut. Tuan kenduri akan meronda segenap
rumah di dalam kampung untuk menjemput
sendiri ke majlis walimatul urus di rumah dia. Bagi kampung sebelah tuan
kenduri akan mewakilkan kepada seseorang
di kampung tersebut untuk menjemput bagi pihak tuan kenduri. Jemputan
biasanya akan terus ‘direct’ kepada orang kampung. Secara tak langsung kita
memang dah tahu yang tuan kenduri benar-benar
menjemput kita ke majlis di rumahnya.
Bukan seperti sekarang ini
begitu mudah urusan jemputan kenduri. Selit sahaja kad di pagar, masukkan dalam
peti surat. Sehinggakan kita tertanya-tanya kenduri di rumah siapa. Sehinggakan
jika kita hadiri kenduri tuan kenduri berkerut dahi cuba hendak mengenal kita
ini siapa. Kadangkala kita sendiri terasa janggal bila tuan kenduri seakan
tidak mengenali kita.
Semua ini disebabkan kad-kad
kenduri di serahkan pada wakil dan wakil main selit tanpa berjumpa dan menjemput
secara ‘direct’. Memang semua orang sibuk pada masa sekarang ini tapi dengan
cara itu ikatan sillaturrahim dan kemuafakatan dirasakan tidak begitu kuat dan
kukuh.
Dahulu apabila menjelang hari
kenduri, di sebelah petang pokok kelapa ataupun pokok apa saja yang tinggi akan
dipanjat untuk di ikatkan speaker. Riuh-rendahlah suasana dengan lagu-lagu yang
diputarkan dengan menggunakan piring hitam ataupun kaset. Orang ramai yang
sibuk melakukan kerja masing-masing terlenggok-lenggok kepala.
Dipinggir hutan ramai orang
berkerumun melihat ketangkasan mereka yang expert
menumbangkan lembu untuk disembelih serta dilapah. Di gedehok tukang masak dibantu oleh beberapa orang lagi sibuk dengan persediaan
rempah ratusnya dan juga bersiap untuk memasak nasi bagi majlis khatam quran
dan marhaban sebelah malam nanti.
Kelazimannya nasi berlaukkan
ikan tamban goreng dengan gulai pisang muda campur ikan bilis, goreng hati dan
pedal ayam bersama kacang panjang sebagai hidangan di sebelah malam. Tukang
masak tentunya Wak Ali (Al-fatihah untuk beliau) tukang masak tersohor dan
berpengalaman ketika itu diikuti oleh Pak Tamin dan Pak Thalib Janggut.
Yang lain duduk basahkan tekak
dengan air kopi cicah roti empat segi dengan pisau terselit di pinggang menanti
lembu yang di sembelih siap di lapah di bawa kepada mereka untuk
dipotong-potong untuk di masak kurma. Dahulu daging masak kurma memang menu
utama. Memang sedap dan berselera. Disamping kerabu umbut kelapa.
Dibelakang rumah kaum perempuan sibuk merebus
telur untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu yang hadir. Ada yang membantu
‘Tok Tukang’ Pak Long Jusuh dan Mak Long Leha menghias pelamin dan bilik tidur.
Membungkus kuih-kuih untuk diberikan kepada mentara dan orang yang bekerja pada
esoknya.
Ada juga yang duduk saja
melihat orang lain buat kerja sambil menghabiskan roti empat segi di dalam
pinggan. Budak-budak berlari kesana-sini bermain aci ligan atau polis sentri.
Memang meriah suasana di petang kenduri. Sifat kerjasama dan permuafakatan begitu
terserlah.
Keesokan harinya majlis
berlangsung dalam suasana meriah dengan lagu-lagu Hindustan bergema
menghiburkan semua orang melalui corong-corong speaker yang terikat di pokok
kelapa atau cabang pokok rambutan atau mempelam. Bergemersik bunyinya. Jamuan
makan dimulakan seawal jam 11.00 pagi dan para mentera dikehendaki ‘lapor diri’
jam 10.30 pagi bagi bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja menghidang
makanan dan mengangkat ‘kulit’. ‘Kulit’ ialah istilah bagi pinggan-mangkuk yang
ditinggalkan para tetamu selepas makan.
Tengaharinya ada persembahan
kompang dan silat menyambut kedatangan pengantin. Kumpulan silat biasanya
dijemput dari Padang Geh iaitu dibawah Tok Yop. Pasukan kompang juga terdiri
dari budak kampong ini yang diketuai oleh Pak Long Jusuh ( Al-Fatihah untuk
beliau). Kepak…. kepak…. kepunn… kepunnn.. bergema pukulan kompang dikepalai
oleh Pak Long Jusuh yang siap bertengkolok.
Pasukan kompang yang boleh
dikatakan anak didik Pak Long Jusuh ini bukan sekadar buat persembahan
menyambut pengantin di rumah-rumah kenduri malah pernah diundang untuk
mengiringi wakil rakyat dan menteri yang melawat sekitar kawasan Kuala Ketil.
Bukan setakat mengetuai
pasukan kompang, Pak Long Jusuh dan Mak Long Leha juga di kenali sebagai ‘Tok
Tukang’ yang mengurus hal ehwal pakaian pengantin, solekan dan juga menghias
pelamin. Bukan setakat itu Pak Long
Jusuh juga terkenal kerana boleh mengubati orang dengan jampi serapah. Yang
uniknya basikal milik Pak Long Jusuh penuh dengan aksesori tambahan dan
senantiasa ’merelit’ walau dalam apa jua
keadaan cuaca.
Selesai upacara kenduri bagi
merehatkan badan yang keletihan malamnya akan di tayangkan video. Video player dipinjam
dari sesiapa yang mempunyai alat itu. Bukan senang hendak mencari sesiapa yang
miliki video player. Bukan ramai orang yang memiliki Video player. Jika tidak ada
video player akan disewa di kedai Joseph di pekan Kuala Ketil. Tape video turut
disewa di kedai Joseph.
Tayangan video ini sebenarnya
bermula malam sebelum kenduri lagi. Permulaan tayangan gambar Hindustan atau
gambar melayu. Ianya khas untuk kaum wanita. Penuhlah khemah dengan kaum hawa menonton
video cerita Qurbani, Naseeb, Nagin,
Disco Dancer. Selepas itu ditayangkan gusti khas untuk para peminat gusti.
Lewat malam biasanya tayangan gambar ‘panas’ akan diadakan apabila semua kaum
hawa dan kanak-kanak sudah tidur. Penonton tentunya para remaja termasuk juga
beberapa orang veteran.
Bagi yang berkemampuan kugiran
Batu 5 Sik akan dijemput dan malam itu semuanya bergembira. Ada yang menari
sehingga lupa akan penat bertungkus lumus
siang tadinya dan itulah sebenarnya tujuan tuan rumah menjemput kugiran
untuk menghibur kesemua yang telah bertungkus lumus dalam kerja kenduri rumahnya
pada sebelah siang tadinya. Tapi itu bagi mereka yang berada.
Selesai hari kenduri tidak
bermakna selesai segala kerja. Masih ada lagi yang perlu dibuat. Ramai-ramai
sekali lagi akan turun memeriksa pinggan mangkuk, meneliti pinggan mangkuk yang
retak dan sumbing, mengira, mencari kalau-kalau ada yang hilang. Kemudian
dihantar ke stor untuk disimpan.
Dan selang seminggu tuan
kenduri sekali lagi akan menjemput semua yang terlibat dalam kerja-kerja
kenduri di rumahnya untuk sekali lagi dijamu makan dalam majlis yang dipanggil
‘cuci balai’. Jamuan ‘Cuci balai’ ini sebagai tanda terima kasih tuan kenduri
kepada mereka-mereka yang bertungkus lumus menjayakan majlis walimatul urus di
rumah dia.
Tapi sekarang ini ‘cuci balai’
tiada lagi dan terus ditinggalkan dalam ‘agenda’ pelaksanaan sesuatu majlis
kenduri. Selesai kenduri, selesai pulangkan semua peralatan, selesailah
segalanya. Tidak seperti dulu. Ini
menunjukkan betapa akrab hubungan sesama jiran pada masa dahulu.