Jumaat, 10 Februari 2012

Kampung Sisik Lantai : Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian IV)


              Banjir

      Semua keseronokan bermain, berkelah di sungai dikecapi ketika musim kemarau. Tetapi di dalam ‘kejinakkan’ sungai itu ada masa dia bertukar menjadi ‘garang’ seolah-olah menunjukkan ‘taringnya’ apabila dia melimpah ruahkan airnya melepasi tebing hingga  ‘membaham’ seisi kampong.

            Banjir sudah sinonim dengan kampong aku. Itulah risikonya berkampung di tepian sungai. Setahun sekali pasti banjir akan datang bertandang menjenguk. Kadangkala bukan sekadar  ‘lawatan’ biasa tetapi lawatan yang agak luar biasa sehingga menenggelamkan separuh dari Pekan Kuala Ketil.

Pekan Kuala Ketil sememangnya satu kawasan yang tinggi jadi bayangkanlah jika separuh Pekan Kuala Ketil di tenggelami maka semua rumah-rumah di kampung aku yang boleh dilihat hanyalah bumbung-bumbung sahaja.

            Apabila menjelang musim tengkujuh persekitaran  bulan November hingga Disember semua penduduk kampong sudah tahu ‘pesta air’ pasti akan berlangsung. Tambah-tambah jika hujan turun tanpa henti-henti, paras air sungai di lihat mulai bertambah sedikit demi sedikit sehingga menghampiri gigi tebing. Tolok penanda amaran banjir yang berada di pengkalan Pak Man Sampan dan di pengkalan Tok Umai semakin menunjukkan tanda berjaga-jaga. Kawasan yang rendah mula di masuki air. Itulah petandanya banjir akan berlaku.

            Semua ini dikuatkan lagi bila mendapat perkhabaran bahawa di kawasan hulu yakni pekan Baling dan Sik sudah pun berlakunya banjir.  Van Jabatan Penerangan pula sudah masuk ke kampung membuat pengumuman amaran agar bersiap-sedia, maka semua penduduk kampong sudah arif benar tidak berapa lama lagi  saja kami akan ber‘carnival air’. Ini kerana jika banjir yang berlaku di pekan Baling dan Sik surut bermakna air itu akan turun ke kawasan kami pula.

            Persediaan harus dibuat. Pak Teh Ali, Pak Daud, Pak Lang Ali semakin sibuk bersama yang lain-lain yang ada memelihara binatang ternakan. Pendekatan awal harus diambil segera. Lembu, kerbau, kambing harus secepat mungkin dipindahkan ke kawasan tinggi. Kereta, motosikal juga tidak terkecuali. Jika dibiarkan pasti akan terperangkap dalam air banjir yang biasanya akan naik secara mendadak dan pantas.

Kebiasaannya pula air akan naik di sebelah malam ketika semua orang sedang tidur. Tetapi semua tidaklah tidur mati bila sudah melihat keadaan air sungai yang sudah mula memanjat tebing sebelah petangnya . Masing-masing tidur dalam keberwaspadaan.

Mulanya air sungai akan ‘jerap’ masuk melalui parit ‘kok’ di tepi rumah Bidin memenuhi sekitar kebun getah Pak Lang Berahim dan ladang tebu Ropiman kemudian airnya mulai melintasi jalan kampong melalui tepi pokok kabu besar  separas buku lali, kemudian separas lutut, pinggang dan akhirnya separas dada.  

Kecepatan air naik kadangkala bagaikan tidak memberi ruang kesempatan pada penduduk untuk memindahkan barang-barang ke tempat lebih tinggi. Sekejap sahaja rumah-rumah akan ditenggelamkan.

           Bagi mana-mana penduduk yang rumah yang tidak mempunyai tingkat atas terpaksalah membina para di atas alang bagi menempatkan barang-barang penting seperti alatan elektrik terutamanya peti televisyen, radio dan sebagainya, juga pakaian dan perabot yang semampunya turut ditempatkan disitu bagi mengelakkan dari di tenggelami air.

Tetapi tahap-tahap kenaikan air banjir sukar diramal. Jika banjir besar melanda akan tenggelam juga walaupun ditempatkan di alang rumah. Walaupun rumah dua tingkat turut tidak terkecuali dari ditenggelamkan air.

            Bagaikan pesta air jadinya kampong aku. Orang luar juga ramai yang datang meninjau-ninjau sambil bermain-main air. Ada yang ambil kesempatan mencuci motosikal. Pada masa yang sama juga pihak polis akan masuk ke dalam kampung memberi amaran kepada penduduk agar bersedia untuk dipindahkan jika air semakin naik. Amaran itu biasanya ditujukan kepada golongan orang tua dan kaum perempuan serta kanak-kanak.

            Ketika air mula naik kesempatan di ambil untuk menahan pukat. Pukat dipasang di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan air melimpah masuk ke dalam kampung. Hasilnya ikan lampam, ikan pucuk pisang, ibu ikan, ikan teroboi, baung. Jika nasib kurang baik tersangkut ular sawa batik. Rakidin, Samijo, Wahid antara yang tidak melepaskan peluang untuk melabuhkan tiga empat kepala pukat.

          Apabila air semakin naik dan sudah mencecah paras pinggang dan dada di sesetengah kawasan, bot pasukan polis ataupun askar akan datang dan memindahkan penduduk kampong dibawa ke  kilang papan dekat pangkalan Pak Man Sampan. Disitu trak polis sudah menunggu dan penduduk kampong  kemudian akan di bawa ke Sekolah Cina ataupun bangunan Umno untuk ditempatkan bersama dengan penduduk kampong-kampong lain yang terlibat dengan banjir. Ini  bermakna makan nasi kawah berlaukkan sardin jawabnya. Bagi aku ketika kanak-kanak tidak terkecuali dari menaiki bot askar dan bermalam di bangunan Umno.

            Banjir yang melanda kampong aku sememangnya dalam. Ada rumah yang hanya kelihatan bumbung antaranya rumah Pak Ngah Che Dan.  Arus air juga deras menghanyutkan apa saja termasuk reban ayam jika tidak diikat pada pokok atau sebagainya. Bagi sesiapa yang mempunyai perahu ketika itu laksana memiliki BMW 7 series ataupun Mercedes SLK. Cukup berharga perahu di waktu itu. Wahid dan Pak Daud, Abang Mail Kak Nab antara yang memilki perahu.

Bagi kami ketika itu batang pisanglah yang dicari dibuat rakit. Ketika itu tidak diambil peduli lagi pokok pisang siapa yang empunya. Tebang saja asalkan jadi rakit. Meronda setiap ceruk.  Tetapi melihat pada tahap air juga. Biasanya bila air semakin dalam, arusnya turut semakin laju. Tidak berani juga kami hendak bermain rakit kerana ianya boleh hanyut dibawa arus. Jangan dikatakan rakit, perahu pun sukar dikawal bila arus sudah bertukar menjadi deras. Boleh terkandas pada pokok-pokok jika tidak pandai mengawal. Akhirnya akan karam.

            Kebanyakan yang keluar ke pusat pemindahan banjir ialah kaum ibu, kanak-kanak dan orang tua-tua. Bagi kami yang muda-muda belia masih lagi berada di rumah walaupun air banjir sudah mencecah paras bahaya. Bagai yang sudah dikatakan, anak Sisik Lantai semua ‘anak sungai’ jadi ianya bukanlah satu masalah berdepan dengan air sebegini.

Walau bagaimanapun bukanlah hendak bercakap besar, ajal maut di tangan tuhan. Tetapi sehingga ke hari ini tidak ada anak Sisik Lantai yang mati lemas. Baik lemas ketika banjir ataupun lemas ketika mandi di sungai. Ini membuktikan anak Sisik Lantai memang ‘jaguh’ bermain air.

            Lagi pula dalam keadaan banjir rumah-rumah tidak boleh di tinggalkan begitu saja. Penyagak dan penyamun bukannya mengira situasi. Tambah-tambah dalam keadaan begini lagi memudahkan urusan kerja mereka dijalankan jika semua orang berada di pusat pemindahan. Kata orang menangguk di air yang keruh. Jadi keadaan kampong perlu juga diawasi. Siapa lagi kalau bukan anak muda harapan bangsa seperti kami.

            Kesempatan ini diambil oleh kami-kami pemuda harapan bangsa meronda dengan perahu memantau keadaan rumah-rumah sambil-sambil itu memberi bantuan ‘kecemasan’ kepada ayam-ayam  yang hanyut terkandas kesejukkan di atas pokok. Ditangkap dan disembelih kemudian di ‘kari’ kan. Tuan punya ayam tidak berkisah kerana jika tidak ditangkap pun dia  tahu ayam-ayamnya pasti mati kesejukkan ataupun hanyut dibawa arus banjir.

            Jika tidak ubi kayu akan di cari. Dalam keadaan banjir mudah saja mencabutnya. Sekali rentap terbungkas seperdu ubi kayu. Direbus kemudian dicicah dengan kelapa parut. Nikmati bersama kopi O di tengah-tengah hujan memang terangkat. Main air banjir sentiasa membuatkan tangki perut cepat menunjukkan ke ‘E’. Apa saja yang ada akan dibelasah.

            Sekolah Cina ataupun Bangunan UMNO menjadi ‘hotel’ buat mangsa banjir. Selalunya mangsa-mangsa terdiri dari kampong aku, kampong kubang hong, pekan lama dan Tanjung puteri. Nasi kawah dan kari sardin itulah menu yang ‘regular’ ketika banjir. Pejabat kesihatan juga ada yang datang membuat pemeriksaan sambil memberikan suntikan jika perlu. Roti empat segi dan air kopi  tersedia ada bagi mengalas perut yang sentiasa lapar. Malamnya tidur bergelimpangan serata ceruk. Serata penjuru.

            Apabila banjir surut bermula pula satu lagi episod. Episod yang meletihkan. Episod mendobi rumah. Biasanya banjir akan surut dalam masa dua hingga ke tiga hari. Episod ini yang amat memeritkan. Keseluruhan rumah disaluti lumpur. Dari lantai, dinding sampailah ke segala peralatan pinggan mangkuk kain baju, meja kerusi dan apa saja yang tenggelam di dalam air banjir.  Apabila banjir surut juga dapat menyaksikan banyak barang perabot yang rosak. Ada barangan elektrik seperti peti televisyen dan radio serta peti sejuk yang ditenggelami banjir. Mujur semua itu masih boleh digunakan semula bila ianya di keringkan.

            Bermulah pula ‘pesta’ mencuci rumah. Segenap sudut perlu disental. Jika tidak di sental bila ianya kering kelak kesan keputihan lumpur akan kelihatan terserlah. Peralatan pinggan mangkuk, periuk belanga yang berselerakkan dan bergelimpangan dalam rumah perlu dikumpulkan dan dicuci. Kain baju, tilam bantal juga terpaksa dibersihkan.

Reban ayam perlu diperbetulkan walaupun ayamnya entah kemana. Entah ada entah sudah mati ataupun sudah di ‘kari’kan orang. Pendek kata memang memenatkan. Tambahan pula dahulu tidak mempunyai aip paip maka terpaksalah menggunakan air telaga untuk kerja-kerja mencuci itu. Bayangkan terpaksa menceduk air telaga. Sungguh memenatkan.

            Banjir turut memberi kesan kepada pokok-pokok, rumput-rumput yang juga turut disaluti lumpur. Lembu-lembu dan kambing turut terkena tempias kerana tidak berselera meragut rumput yang bersalutkan lumpur. Tetapi tuhan maha adil, disesahnya hujan lebat hilang kesan lumpur yang menyaluti rumput rampai.

            Kesan banjir juga menghasilkan bau busuk. Selain itu tanah akan menjadi becak dan hanya akan pulih dalam masa beberapa hari. Tetapi yang baiknya kampong menjadi bersih, segala sampah sarap habis dihanyutkan. Segala pelepah kelapa, daun-daun kering, buah-buah kelapa terbiar, tin-tin kosong, botol-botol plastik semua dihanyutkan. Malah tidak lagi memerlukan khidmat ‘Indah water’. Segala ‘tangki-tangki’ jamban semua dibersihkan selepas banjir.

Itulah antara istimewaan Kampung Sisik lantai. Setiap tahun akan ada ‘pembersihan’.  Selepas banjir keadaan kampong nampak bersih. Sampah sarap tidak lagi kelihatan. Pelapah kelapa tidak lagi berselerakan. Segala tin-tin, botol plastik dihanyutkan air. Bersih dan lapang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan