Jumaat, 10 Februari 2012

Kampung Sisik Lantai : Menyelusuri Denai Kenangan (Bahagian V)


Mentara dan Kenduri

Jalinan kemuafakatan antara penduduk kampung Sisik lantai tidak dapat dinafikan ujud sejak dulu lagi dan masih segar hingga sekarang ini. Jalinan ini dapat dilihat dengan jelas sekiranya ada sesuatu majlis kenduri. 

Bagi aku dan geng-geng aku iaitu Awang Saud, Ajis Semiji, Anun, Awat turut tidak terkecuali dalam menyertai jalinan kemuafakatan ini. Bermula sebagai mentara di rumah kenduri. Pak Jang Kob (Al-fatihah buat beliau) orang pertama yang membawa kami sertai mentara di rumah kenduri. Mungkin kerana dia merasakan sudah tiba masanya kami-kami ini buat sesuatu daripada buang masa. 

Sesunguhnya perasaan seronok tak terkira bila boleh sertai geng mentara. Seronok disebabkan mula merasai diri kami dihargai dan diiktiraf untuk mencurahkan bakti buat penduduk kampong.  

Kumpulan mentara Sisik Lantai dulu memang agak terkenal. Memang ramai ahlinya termasuk gabungan dengan budak-budak Kubang Hong antaranya Pak Su Wak Abu, Kang, Salim Menan, Achit panjang, Fozi Tok Awang Trektor dan satu dua orang budak Taman Batu Pekaka seperti Man Tuak, Mi Harun, budak Taman Dato’ Haji Muslim Li Kabat, Awang Kudung, Shah Kaloi , budak Pekan Lama Lan Renyih dan At.

Budak-budak mentara Sisik Lantai antaranya Wahid, Mat Robin, Aman, Ani, Jefri cucu Paklong Jusuh, Eder, Ajis Senget, Anuar Samijo, Ari Man, Ajis komando, Malek, Azam, Mael Pak Rashid, Bahaman, Badeli, Ajis Tok Mud, At, Pa Paksu At, Chop remos, Pe Pak Man Toyo, Sani. Itu geng yang senior geng yang junior pula selain aku, Awang Saud, Anun, Ajis Samiji, Awat, Zam samijo, Mail Toge, Lan Che Me, An Pak Abu, Leman, Nan, Din, Li Bang Hashim, Yusri. Ramai lagi sebenarnya yang nama mereka tidak dapat aku ingat. Tetapi yang nyata bila ada sesuatu majlis kenduri,  hampir 20 puluh orang lebih mentara yang turun dengan uniform baju pagoda putih.

Dengan tenaga yang ramai kerja menjamu tetamu menjadi lancar dan tersusun. Tambah-tambah akan lancar bila terdapat ramai mentara perempuan yang turut sama mencurah bakti. Bukan main rajin lagi malah berebut-rebut menghantar hidangan ke khemah perempuan. Pakaian juga bukan main melawa lagi. Dengan kasut kulitnya dan berspek mata hitam segala.

Biasalah jiwa remaja cuba-cuba masuk daun. Dulu mentara pompuan juga terdiri dari anak-anak dara bukan seperti sekarang ini yang rata-rata mentara perempuan terdiri dari kaum veteran. Mungkin itu faktor ketiadaan anak muda yang hendak menjadi mentara sekarang ini sebab tak ada ‘bunga-bunga’ yang mewangi.  Yang ada hanya bunga ‘taik ayam’.

Dulu kepatuhan kepada Ketua Mentara memang tinggi. Keadaan juga tidak berkecamuk dan ianya begitu tersusun. Sekiranya diperlukan hidangan untuk tetamu, ketua mentara akan menyuruh ahli mentara bersedia. Contohnya 3 talam. 3 talam bermakna 3 set lengkap seperti air basuh tangan, air minuman, nasi dan lauk-pauk. Sekiranya 3 talam diperlukan di sesuatu khemah. Bermakna 12 tenaga mentara diperlukan.  Pada masa dahulu mana ada bufet-bufet segala.

Seorang akan membawa air basuh tangan, air minuman, seorang nasi dan seorang lauk. Pergerakan juga selari dimana bukan terus hantar sebaliknya semuanya bersedia berkumpul dengan benda yang hendak dibawa dan apabila mendapat arahan dari ketua mentara barulah ketiga-tiga set hidangan itu di hantar serentak ke khemah.

 Didahulukan dengan air basuh tangan dan air minum diikuti dengan nasi dan lauk. Ikut susunan dan nampak lancar dan tertib tidak seperti sekarang ini yang mana nampak agak kelam kabut dan bercelaru. Ketertiban inilah yang membuatkan ramai yang tertarik dan menjemput pakatan mentara Sisik Lantai menjayakan kenduri di rumah mereka walaupun di luar kampong Sisik Lantai.

Setiap orang mentara akan diberikan bunga yang dipakaikan di baju dan sehelai tuala kecil Good Morning. Bunga dipakaikan sebagai tanda ianya salah seorang tenaga kerja dalam kenduri itu. Bagi kami mentara penerimaan  bunga itu seolah satu tali yang mengikat agar pulang jam 5.00 petang. Mana-mana tuan kenduri yang berada, bunga akan di buat menggunakan duit kertas seringgit yang digubah.

Mentara juga turut diberikan rokok dunhill 14 batang. Ianya bagaikan sesuatu yang wajib tuan kenduri untuk sediakan rokok pada mentara. Hanya rokok jenama dunhill, sekiranya rokok benson & hedges muka mentara sedikit ‘ketat. Kerana rata-rata tidak menggemari rokok jenama benson kerana dikatakan terlalu ‘lembut’ dan tak ada ‘kick’ berbanding Dunhill.  

Bagi kami yang masa itu masih boleh di kategorikan bawah umur  turut mendapat seorang sekotak kerana sudah menjadi ‘piagam’ setiap yang menjadi mentara akan mendapat sekotak rokok tidak mengira walaupun dia masih di bawah umur.  Biasanya aku terpaksa bawa balik ke rumah. Tapi ada juga yang ‘menyelit’. Maka berasaplah pokok cenerai di tebing sungai hujung tanah Tok Seman Beras. Terkadang dijual kepada Ane kedai station bas dengan harga murah berbanding harga asal. Murah pun murah asalkan dapat duit.

Selesai sesuatu majlis kenduri biasanya pukul 5.00 petang bermakna tamatlah tugas para mentara. Sebelum pulang Pak Su At Cerut (Al-fatihah buat beliau) akan menyuruh tukang bancuh air sediakan air teh beserta kuih-kuih untuk dijamu para mentara. Tuan rumah juga akan berikan bunga telur, bungkusan kuih dan ada yang memberikan sabun.

Sebelum semua pulang ketua akan arahkan semua mentara berjumpa dan bersalaman dengan tuan rumah. Sopan dan tertib. Disebabkan itu jugalah mentara Sisik Lantai agak terkenal di sekitar Kuala Ketil dan khidmatnya turut di diguna diluar dan tidak hanya termaktub di kampong Sisik Lantai sahaja.

Selepas Pak Jang Kop mengundur diri Pakatan Mentara diambil alih oleh Pak Su At Cerut , Abang Din dan Bang Li driving school. Ketika dibawah Pak Su At cerut dan Bang Din kami menjadi semakin aktif seiring dengan umur kami yang kian meningkat. Tambahan pula ramai mentara senior yang sibuk dengan komitmen kerja ada juga yang telah berhijrah kerja di tempat lain. Ada yang memasuki tentera, polis dan sebagainya. Tinggallah kami yang junior mengambil alih meneruskan legasi mentara Sisik Lantai.

Suasana kenduri dahulu memang berlainan dengan sekarang dan dirasakan kenduri dahulu lebih meriah lagi. Bermula dari awal kenduri sehingga habis selesai segalanya. Semuanya dilakukan secara gotong royong dengan semangat muafakat yang cukup tinggi. Kenduri dalam suasana yang tidak selengkap sekarang tapi dapat dilakukan dengan semeriahnya. Kenduri dalam suasana yang tidak mempunyai kelengkapan kerusi dan khemah, dapur dan segalanya seperti mana sekarang.

Masih aku ingat lagi dahulu jika ada sesuatu majlis kenduri tumbanglah pokok pinang dan pokok buluh untuk dijadikan tiang khemah, meja dan juga kerusi. Sekumpulan orang akan menebang dan mengusung batang-batang pinang ke rumah kenduri. Terkadang itu  dari hujung kampong dibawah di tengah kampong. Perit rasanya bahu. Tetapi atas semangat kejiranan sakit melecet bahu tidak terasa. Yang penting kenduri dapat dijayakan walaupun itu bukan kenduri dia tetapi cara khidmat yang dicurahkan seakan majlis kenduri dia.

Batang-batang pinang dipotong-potong. Ada yang dijadikan tiang khemah, tiang meja dan kemudian dibelah-belah dibuang pulur untuk dijadikan tempat letak punggung. Bukannya mudah melakukan semua kerja-kerja itu. Bukan itu saja ianya juga mengambil masa hampir sehari untuk siapkan meja panjang dan kerusi panjang untuk tetamu duduk menjamu selera. Tetapi sikap bantu-membantu memudahkan segalanya. Bumbung pula biasanya kain terpal lori. Ada juga yang menambahnya dengan memasang kain paracut tentera. 

Bagi yang berada akan memasang ‘balai’. Ini kerana balai ini perlu disewa. Balai diperbuat daripada kayu yang disambung menggunakan skru. Kalau masih ada sekarang ini mungkin namanya diubah kepada ‘gazebo’. Bukan semua kampong mempunyai balai ini. Yang ada balai ini ialah Kampung Batu Satu.

Kegunaan balai memang banyak sekali. Menjadi tempat kaum ibu menyiang bawang sambil berborak-borak, kata mengata, gossip mengossip. Sebelah malam menjadi tempat orang bermarhaban dan tengah malam menjadi tempat sanak-saudara melelapkan mata bergelimpangan. Bagi yang berkemampuan menjemput kugiran, di atas balai ini juga  yang menjadi pentasnya.

Yang lain akan sibuk membuat tempat masak yang dipanggil gedehok. Membuat tempat masak tidak kurang teruknya. Terpaksa mengali tanah untuk dijadikan dapur. Gali sedalam kira-kira dua kaki berbentuk bulat dan dibuat tempat mengisi kayu api. Sekali imbas bentuknya seakan lubang kunci.  Bukan sembarangan orang yang boleh gali dapur hanya yang berkemahiran saja yang ditugaskan untuk membuat kerja itu.

Kebaikan dapur daripada tanah apinya tidak mudah ditiup angin dan baranya dapat memasak nasi dengan eloknya. Selalunya selepas habis kenduri lubang dapur akan tetap kekal di  rumah tuan kenduri. Ada yang sampai menimang cucu tiang khemah yang dibuat dari batang pinang masih bercacak di halaman rumah.

Kalau di singkap semula kerja-kerja kenduri dulu tidak banyak bezanya  dengan sekarang ini. Yang berbezanya ialah bahan-bahan untuk melaksanakan majlis kenduri itu. Sebelum sesuatu majlis kenduri bermula sama seperti sekarang ini mesyuarat kerja kenduri akan dilakukan. Pembahagian kerja diatur daripad A sampailah ke Z. Tapi setengah-setengah kerja yang diamanahkan kepada seseorang bukanlah mudah seperti sekarang.

Contohnya bahagian penyediaan air gincah atau air untuk kegunaan kenduri. Kalau sekarang ini begitu mudah cuma cucukkan getah paip dan tarik saja kemana. Tapi dahulu tukang jaga air gincah ini perlu mengunakan enjin dan sedut air telaga.  Dia bertanggungjawab sepenuhnya untuk pastikan bekalan air kegunaan kenduri lancar. Jika engin buat hal, berkali-kali di start enginnya tetap tidak mahu hidup berpeluh jadinya si tukang air gincah. Apa cara pun air perlu disediakan untuk kegunaan tukang masak. Itulah perbezaannya antara dulu dan sekarang.

Penyediaan air minuman iaitu air merah juga agak unik terutama dari segi simpanan ais. Dahulu ais didatangkan dalam bentuk empat segi kemudian di masuk dalam guni diisi dengan habuk kayu. Ais tadi kemudiannya akan ditanam di tempat redup bagi mengelakkannya cepat cair. Sekiranya bekalan ais habis akan digali di pecahkan dicuci kemudian masukkan dalam balang air. Selebihnya akan ditanam semula untuk elakkan dari cair.

Dari segi jemputan. Dulu tidak menggunakan kad hanya dengan panggilan mulut. Tuan kenduri akan meronda segenap rumah di dalam kampung untuk menjemput  sendiri ke majlis walimatul urus di rumah dia. Bagi kampung sebelah tuan kenduri akan mewakilkan kepada seseorang  di kampung tersebut untuk menjemput bagi pihak tuan kenduri. Jemputan biasanya akan terus ‘direct’ kepada orang kampung. Secara tak langsung kita memang dah tahu yang tuan kenduri  benar-benar menjemput  kita ke majlis di rumahnya.

Bukan seperti sekarang ini begitu mudah urusan jemputan kenduri. Selit sahaja kad di pagar, masukkan dalam peti surat. Sehinggakan kita tertanya-tanya kenduri di rumah siapa. Sehinggakan jika kita hadiri kenduri tuan kenduri berkerut dahi cuba hendak mengenal kita ini siapa. Kadangkala kita sendiri terasa janggal bila tuan kenduri seakan tidak mengenali kita.

Semua ini disebabkan kad-kad kenduri di serahkan pada wakil dan wakil main selit tanpa berjumpa dan menjemput secara ‘direct’. Memang semua orang sibuk pada masa sekarang ini tapi dengan cara itu ikatan sillaturrahim dan kemuafakatan dirasakan tidak begitu kuat dan kukuh.

Dahulu apabila menjelang hari kenduri, di sebelah petang pokok kelapa ataupun pokok apa saja yang tinggi akan dipanjat untuk di ikatkan speaker. Riuh-rendahlah suasana dengan lagu-lagu yang diputarkan dengan menggunakan piring hitam ataupun kaset. Orang ramai yang sibuk melakukan kerja masing-masing terlenggok-lenggok kepala.

Dipinggir hutan ramai orang berkerumun melihat ketangkasan mereka yang expert menumbangkan lembu untuk disembelih serta dilapah. Di gedehok tukang masak dibantu oleh beberapa orang lagi sibuk dengan persediaan rempah ratusnya dan juga bersiap untuk memasak nasi bagi majlis khatam quran dan marhaban sebelah malam nanti.

Kelazimannya nasi berlaukkan ikan tamban goreng dengan gulai pisang muda campur ikan bilis, goreng hati dan pedal ayam bersama kacang panjang sebagai hidangan di sebelah malam. Tukang masak tentunya Wak Ali (Al-fatihah untuk beliau) tukang masak tersohor dan berpengalaman ketika itu diikuti oleh Pak Tamin dan Pak Thalib Janggut.

Yang lain duduk basahkan tekak dengan air kopi cicah roti empat segi dengan pisau terselit di pinggang menanti lembu yang di sembelih siap di lapah di bawa kepada mereka untuk dipotong-potong untuk di masak kurma. Dahulu daging masak kurma memang menu utama. Memang sedap dan berselera. Disamping kerabu umbut kelapa.

 Dibelakang rumah kaum perempuan sibuk merebus telur untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu yang hadir. Ada yang membantu ‘Tok Tukang’ Pak Long Jusuh dan Mak Long Leha menghias pelamin dan bilik tidur. Membungkus kuih-kuih untuk diberikan kepada mentara dan orang yang bekerja pada esoknya.

Ada juga yang duduk saja melihat orang lain buat kerja sambil menghabiskan roti empat segi di dalam pinggan. Budak-budak berlari kesana-sini bermain aci ligan atau polis sentri. Memang meriah suasana di petang kenduri. Sifat kerjasama dan permuafakatan begitu terserlah.

Keesokan harinya majlis berlangsung dalam suasana meriah dengan lagu-lagu Hindustan bergema menghiburkan semua orang melalui corong-corong speaker yang terikat di pokok kelapa atau cabang pokok rambutan atau mempelam. Bergemersik bunyinya. Jamuan makan dimulakan seawal jam 11.00 pagi dan para mentera dikehendaki ‘lapor diri’ jam 10.30 pagi bagi bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja menghidang makanan dan mengangkat ‘kulit’. ‘Kulit’ ialah istilah bagi pinggan-mangkuk yang ditinggalkan para tetamu selepas makan.

Tengaharinya ada persembahan kompang dan silat menyambut kedatangan pengantin. Kumpulan silat biasanya dijemput dari Padang Geh iaitu dibawah Tok Yop. Pasukan kompang juga terdiri dari budak kampong ini yang diketuai oleh Pak Long Jusuh ( Al-Fatihah untuk beliau). Kepak…. kepak…. kepunn… kepunnn.. bergema pukulan kompang dikepalai oleh Pak Long Jusuh yang siap bertengkolok.  

Pasukan kompang yang boleh dikatakan anak didik Pak Long Jusuh ini bukan sekadar buat persembahan menyambut pengantin di rumah-rumah kenduri malah pernah diundang untuk mengiringi wakil rakyat dan menteri yang melawat sekitar kawasan Kuala Ketil.

Bukan setakat mengetuai pasukan kompang, Pak Long Jusuh dan Mak Long Leha juga di kenali sebagai ‘Tok Tukang’ yang mengurus hal ehwal pakaian pengantin, solekan dan juga menghias pelamin. Bukan setakat itu  Pak Long Jusuh juga terkenal kerana boleh mengubati orang dengan jampi serapah. Yang uniknya basikal milik Pak Long Jusuh penuh dengan aksesori tambahan dan senantiasa  ’merelit’ walau dalam apa jua keadaan cuaca.

Selesai upacara kenduri bagi merehatkan badan yang keletihan malamnya akan di tayangkan video. Video player dipinjam dari sesiapa yang mempunyai alat itu. Bukan senang hendak mencari sesiapa yang miliki video player. Bukan ramai orang yang memiliki Video player. Jika tidak ada video player akan disewa di kedai Joseph di pekan Kuala Ketil. Tape video turut disewa di kedai Joseph.

Tayangan video ini sebenarnya bermula malam sebelum kenduri lagi. Permulaan tayangan gambar Hindustan atau gambar melayu. Ianya khas untuk kaum wanita. Penuhlah khemah dengan kaum hawa menonton video cerita Qurbani, Naseeb, Nagin, Disco Dancer. Selepas itu ditayangkan gusti khas untuk para peminat gusti. Lewat malam biasanya tayangan gambar ‘panas’ akan diadakan apabila semua kaum hawa dan kanak-kanak sudah tidur. Penonton tentunya para remaja termasuk juga beberapa orang veteran.
           
Bagi yang berkemampuan kugiran Batu 5 Sik akan dijemput dan malam itu semuanya bergembira. Ada yang menari sehingga lupa akan penat bertungkus lumus  siang tadinya dan itulah sebenarnya tujuan tuan rumah menjemput kugiran untuk menghibur kesemua yang telah bertungkus lumus dalam kerja kenduri rumahnya pada sebelah siang tadinya. Tapi itu bagi mereka yang berada.

Selesai hari kenduri tidak bermakna selesai segala kerja. Masih ada lagi yang perlu dibuat. Ramai-ramai sekali lagi akan turun memeriksa pinggan mangkuk, meneliti pinggan mangkuk yang retak dan sumbing, mengira, mencari kalau-kalau ada yang hilang. Kemudian dihantar ke stor untuk disimpan.

Dan selang seminggu tuan kenduri sekali lagi akan menjemput semua yang terlibat dalam kerja-kerja kenduri di rumahnya untuk sekali lagi dijamu makan dalam majlis yang dipanggil ‘cuci balai’. Jamuan ‘Cuci balai’ ini sebagai tanda terima kasih tuan kenduri kepada mereka-mereka yang bertungkus lumus menjayakan majlis walimatul urus di rumah dia.

Tapi sekarang ini ‘cuci balai’ tiada lagi dan terus ditinggalkan dalam ‘agenda’ pelaksanaan sesuatu majlis kenduri. Selesai kenduri, selesai pulangkan semua peralatan, selesailah segalanya. Tidak seperti dulu.  Ini menunjukkan betapa akrab hubungan sesama jiran pada masa dahulu.

             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan