Sungai salah satu
anugerah yang cukup bernilai daripada Allah s.w.t kepada kami penduduk kampong
Sisik Lantai. Bagi pendapat aku secara peribadi , indah dan bermaknanya kampong
Sisik Lantai ini disebabkan adanya sungai. Jika tanpa sungai kampung Sisik
Lantai pastinya akan sepi dan akan jadi sama saja seperti kampung-kampung yang
lain yang tidak ada aktiviti tambahan.
Kelebihan Kampung Sisik Lantai
pada sungai. Sungai yang dikenali dengan nama Sungai Ketil yang mengalir di
dalam jajaran Sungai Muda menjadi sebahagian dari nadi yang menghidupkan kampong
Sisik Lantai. Juga memberi sejuta manafaat dan rahmat kepada penduduk kampong selain
menambahkan lagi aktiviti sampingan penduduk kampong dengan membuat pelbagai
perkara di sungai seperti memancing ikan, memukat, menjala, berkelah,
mandi-manda dan sebagainya lagi.
Sungai
Ketil ini mengalir menganjur seakan mengelilingi
kampung Sisik Lantai dan menjadikan Kampung Sisik Lantai berada dalam kedudukan
seperti tanjung. Mengalir dari muara
pencantuman dua batang sungai iaitu sungai Baling dengan Sungai Sik menjadikan
sungai ini luas dan dalam. Arus nya juga laju.
Bagi penduduk kampong selain menjadi
tempat berehat, berkelah, bersantai. Ianya juga menyediakan Lampam Jawa, Lampam
Merah, Tongsan, Kaloi, Baung, pucuk pisang, temperas, sorok batang, kenying,
ikan patung, teroboi, tilan, tili, udang galah untuk kaki pancing di dalam
lubuk Kuala Sisik Lantai, Lubuk Pokok Pisang, Lubuk Tok Jahaya, lubuk jawi.
Bukan setakat itu saja, malah
sungai juga menjadi tempat ‘pembuangan’ saka. Melihat buyung yang dilitupi kain
kuning dan lilin yang menyala hanyut terapung-apung di sungai ketika waktu
maghrib atau tengah malam sudah biasa bagi kami yang tinggal di pinggir sungai.
Bagi kami terasa juga seramnya tetapi namun dibiarkan ianya hanyut terus kemana
saja dan jangan diganggu. jika diganggu mungkin ianya akan memberikan ‘kesan’.
Ada juga orang india yang menghanyutkan habu mayat sanak saudara mereka. Masing-masing
dengan kepercayaan masing-masing.
Sungai
ini juga menjadi pemisah antara kampong Sisik Lantai dengan kampong Batu Belacan.
Walaupun begitu ianya bukanlah satu penghalang bagi penduduk kampong batu
belacan untuk ke pekan Kuala Ketil. Khidmat sampan disediakan oleh Pak Man
dengan mengambil upah membawa mereka menyeberangi sungai untuk ke Pekan Kuala
Ketil termasuk budak-budak sekolah yang belajar di sekolah Menengah Kuala Ketil
dan sekolah Menengah Tanjung Puteri berdekatan pekan kuala ketil.
Bagi penduduk batu belacan,
sampan Pak Man merupakan pengangkutan yang amat penting bagi mereka sekali gus
‘mendekatkan’ Batu Belacan dengan Kampung Sisik Lantai.
Sampan
Pak Man ini bertindak untuk mendekatkan Kampung Batu Belacan dengan Pekan Kuala
Ketil bagi memudahkan penduduknya berurusan samada membeli barangan keperluan
ataupun apa saja urusan lain. Jika tanpa sampan Pak Man, penduduk terpaksa
menggunakan jalan raya yang berjarak hampir 15 kilometer untuk ke Pekan Kuala
Ketil dengan melalui Estet Lubuk Segintah. Jika menggunakan jalanraya pastinya
perlu menggunakan motosikal ataupun bas. Perjalanan juga mengambil masa. Dengan
sampan Pak Man masa perjalanan menjadi singkat dan sekadar cukup menaiki
basikal sahaja. Ini amat menjimatkan bagi penduduk Batu Belacan.
Melengkung-lengkung
tubuh kurus Pak Man mendayung meredah arus menyeberang ke tebing sebelah sana
dan sebelah sini berulang-ulangkali mengikut kehendak penumpang. Jika kemarau
terpaksa mencari laluan yang sedikit dalam untuk mengelakkan dari sampan
tersangkut pada pasir. Apabila air banyak terpaksa pula berhempas-pulas meredah
arus yang deras agar sampan tidak hanyut dan tersasar dari pangkalan.
Sewajarnya boleh di respek Pak Man Sampan ini biarpun
air sungai hampir melimpah ruah dari tebing, Pak Man masih sanggup membawa penumpangnya
menyeberang walaupun risiko sampan hanyut atau tenggelam terpaksa dia hadapi. Sampan dia juga tidak dilengkapi dengan alat bantuan
kecemasan seperti pelampung atau life
jacket. Tetapi seingat aku, tidak pernah sampan Pak Man mendapat petaka
atau musibah. Tidak pernah karam dan tidak ada penumpang yang dibawanya jatuh
atau lemas di dalam air.
Pengkalan
tambang ini turut memberi peluang kepada para jejaka-jejaka perasan untuk
‘menackle’ anak gadis Batu Belacan terutama pelajar sekolah. Terdapat gerai
makan bersebelahan kilang papan sekali gus menjadikan tempat anak-anak muda
melepak, melongo menghabiskan masa menikmati hembusan angin sungai yang nyaman
di samping itu juga cuba-cuba ‘beramah mesra’ dengan anak-anak gadis Batu
Belacan yang menanti giliran dibawa ke seberang oleh Pak Man.
Pengkalan
tambang Pak Man sampan kalau menurut orang-orang lama jika disingkap sejarahnya
dikatakan dulu merupakan sebuah tempat pelabuhan dan tempat barang-barang
dagangan dibawa masuk menggunakan tongkang. Bagi mengukuhkan fakta tersebut
pelbagai barangan lama seperti serpihan tembikar serta siling-siling lama
banyak ditemui ketika kerja-kerja penyedutan pasir dilakukan disekitar kawasan
itu.
Di situ juga dikenali sebagai
Pekan Lama. Bermakna pekan Kuala Ketil yang termula sekali mungkin berpaksi
disekitar pengkalan tambang Pak Man. Apa pun untuk kesahihannya perlulah
merujuk orang-orang lama yang lebih arif dan yang tahu selok-belok dan sejarah
tentang pengkalan Pekan Lama ini.
Disitu
juga terdapat kilang papan. Kilang papan yang memberikan pekerjaan kepada
penduduk Sisik Lantai antaranya Pak Hussin Sintak
ong, Pak Saud, Dolah Doleng. Dan dengan adanya kilang papan itu juga
memberi manafaat kepada penduduk kampong aku untuk mendapatkan kayu-kayu dan
papan-papan sayung bagi kegunaan membuat reban ayam, reban kambing, tiang-tiang
pagar, pangkin-pangkin tempat melepak dan sebagainya.
Di gerai makan kilang papan
juga menjadi tempat orang-orang yang tidak puasa mengisi perut mereka di
tengahari. Juga terdapat ‘kasino’ di situ yang mana menjadi tumpuan kaki-kaki
judi seperti Mat ribu dan lain-lain.
Malah ada yang mati akibat terjun ke dalam sungai akibat tidak tahu berenang ketika diserbu polis.
Dulu sungai memang indah dan cantik. Dipagari
pohon-pohon teberau dan reyung yang terlentuk liuk ditiup angin dengan bunganya
bak baldu berkemutihan. Pohon-pohon balik angin dan pokok bongor meredupkan
suasana tebing-tebing. Sejuk dan nyaman.
Pokok-pokok buluh yang
sebahagian perdunya mencecah gigi air dan batang-batangnya yang tumbang mereba
di atas permukaan air menjadi tempat ikan-ikan kaloi bermain-main sambil
menyambar buah-buah ara masak ranum yang gugur ke atas air. Airnya mengalir
laju membawa buih-buih menjadi tempat lampam-lampam jawa, lampam merah bermain
arus. Jika diperhati betul-betul dapat dilihat ikan-ikan todak akan bersaingan
menyosong arus.
Apabila tiba musim ikan mudik, boleh
dilihat gerombolan ikan-ikan seluang mudik menongkah arus. Di kala itu juga
dapat didengar deburan air di sana-sini menandakan si sebarau sedang menangkap
mangsanya. Dikala itu jugalah ramai yang
berada di tebing-tebing sungai dengan batang pancing dan timba-timba merebut
peluang memancing anak-anak seluang tamban dan seluang tebal sisik yang mudik
ke hulu.
Pantainya berjajaran daripada
pengkalan Kilang papan ataupun pengkalan penambang Pak Man sampan menganjur
hingga ke pengkalan Pak Jang Kop, Tok Umai, terus ke pengkalan Tok Ganjil. Di
kala itu air sungai mengalir lesu dicelah-celah jajaran pantai tatkala kemarau
panjang.
Dan ketika itu jugalah ianya menjadi tumpuan
penduduk kampong untuk berkelah dan bermandi-manda, mencuci pakaian. Mencari siput
remis. Mencari kedaya, mencari udang gantung dibawah-bawah kulit-kulit kayu
balak di gigi-gigi pantai atau di dalam buluh yang terdampar. Diatas pantai
jugalah kalau nasib tidak baik akan terserempak dengan sang buaya yang naik
berjemur.
Bukan sahaja ada pelbagai
jenis ikan di dasar lubuk sungai tetapi juga dihuni oleh sang bedal. Dalam erti
kata sebenar sang buaya. Memang terdapat buaya di sekitar sungai berhampiran kampong
aku. Ramai yang sudah terserempak. Tetapi sepanjang aku bermain sungai tidak pernah
sekali aku bersua dengan sang buaya itu.
Tetapi jika ditanya Pak
Rashid, Pak Ayob, Pak Deris, Pak Ganjil, Pak Dahaman dan beberapa orang lama
yang lain bolehlah mereka menceritakan
pengalaman mereka bersua dengan reptilia itu dan sebesar mana saiznya. Ada yang
berjumpa ketika menyelam menembak ikan. Ada yang berjumpa ketika menjala, ada
yang berjumpa ketika ianya naik bersidai di tebing, berjemur di atas pantai.
Ada yang terjerumuh dia melintas ketika mendayung perahu.
Memang ada buaya tetapi kemunculannya
buaya cuma secara kebetulan dan bukannya dia sengaja hendak mempamerkan
dirinya. Sebenarnya hubungan kami penduduk kampong dengan sang buaya cukup
dijaga. Keceluparan amat-amat ditegah. Jangan bercakap atau menyebut buaya
ketika di sungai, jangan mencuci kelambu di sungai, jangan mencampakkan kunyit,
jangan jadikan cicak sebagai umpan pancing. Semua itu akan menyebabkan sang
buaya muncul dan mengamuk.
Semua pantang larang itu ada kebenaran
atau sekadar mitos sukar dipastikan. Pernah ada orang yang mencuci kelambu
disungai ketika musim kemarau keesokkan harinya ada yang mendakwa ternampak
buaya di sekitar tempat kelambu dicuci itu. Ada yang memancing menggunakan
umpan cicak tetiba saja mengundang buaya timbul di permukaan menyebabkan lari
lintang pukang. Entah samada kebetulan ataupun memang ada hubungkait.
Yang pasti setiap penduduk
kampong Sisik Lantai dari kecil hinggalah ke dewasa semuanya cukup menjaga
pantang larang itu. Yang utama keujudan dia dihormati dan dia juga tidak pernah
diganggu. Hasilnya sejak dari dulu sehingga kini belum ada buaya-buaya yang
mengamuk, menyerang mana-mana penduduk kampong ataupun membaham binatang
seperti lembu atau kerbau yang turun minum air di sungai. kalau terjumpa pun
sekadar terserempak dalam beberapa saat sebelum dia menjunam atau meluncur
semula ke dasar sungai.
Sungai
juga begitu berharga dan memberi manafaat kepada penduduk kampong aku. Hasil khazanah yang menghuni isi perutnya
begitu banyak dan memberi peluang kepada penduduk kampong untuk menikmatinya
asalkan rajin berusaha. Pelbagai cara, bukan saja dengan memancing tetapi juga
dengan cara menjala, memukat, mengambat, menahan candik, dan yang lebih brutal
mengebom serta menuba.
Tetapi
menuba merupakan satu kaedah cara yang boleh di kategorikan sebagai kejam
kerana racun tuba boleh membunuh seisi lubuk daripada sekecil-kecil hingga ke
sebesar-besar. Dari yang baru menetas hinggalah ibu-ibu dan bapa-bapa ikan. Tuba ini sebenarnya dibuat daripada campuran
ubi gadung dengan racun tengkorak kemudian dicurahkan ke sungai. Ubi-ubi gadung
yang diracik kecil-kecil yang bercampur
dengan racun tengkorak itu akan di pagut oleh ikan-ikan kecil dan besar
menyebabkan semuanya kemabukkan dan mati. Kaedah tuba ini faktor utama menyebabkan
kepupusan ikan. Seingat aku dahulu terdapat ikan buntal di sungai kampong aku
tetapi sekarang ianya terus kepupusan.
Dikhabarkan juga dahulu
terdapat tuntung yang naik bertelur di tepi-tepi pantai. Tetapi aku tidak
sempat berada dalam situasi itu kerana ketika zaman aku tiada lagi kelibat
tuntung merangkak naik bertelur di atas pantai. Cuma sekadar mendengar cerita
daripada orang yang lebih tua iaitu Abang Din anak Pak Jang Kop saja bagaimana keseronokan mereka mencari telur tuntung di pantai bersama
Wak Paiman, Leng, Omar Pendek, Pak Long Jusuh dan rakan mereka yang lain.
Samada tuntung pupus ataupun berhijrah ke tempat lain tidak dapat dipastikan. Mungkin juga ianya salah satu lagi bahana racun tuba. Disebabkan itu kaedah tuba ini membangkitkan rasa marah
orang ramai.
Bila
tiba musim kemarau boleh dikatakan setiap hari ada saja aktiviti menangkap ikan
diadakan sepanjang sungai. Apabila ternampak ada ikan yang hanyut di sungai,
itu tandanya ada orang yang menuba ataupun mengebom ikan di bahagian hulu.
Ramailah yang akan menerpa ke sungai dengan penyauk di tangan untuk menangkap
ikan-ikan yang hanyut berkelampungan.
Tetapi jika ikan dari kaedah
tuba terpaksa di belah perutnya secepat mungkin untuk mengeluarkan isi perutnya
kerana bimbang racun tuba akan meresap ke dalam isinya dan memudaratkan jika
dimakan kelak.
Keesokkannya
dapat dilihat digigi pantai ikan-ikan mati terdampar. Semuanya bahana bom
ataupun tuba. Ada juga yang tersangkut di reba-reba kayu. Ada yang bersaiz
sebesar dua tapak tangan dan lebih. Biasanya ikan-ikan yang besar terutama
lampam merah atau lampam jawa lambat matinya dan dia jarang timbul di permukaan
air. Ada kalanya bila terjumpa sudah pun mereput di reba kayu.
Seingat aku jika ayah aku
mendapat ikan Lampam jawa sebesar dua tapak tangan pastinya akan dibuat bakar
bantut. Bertambah nasi jadinya ayah aku tengahari itu. Tetapi bagi aku terpaksa
terkial-kial memisahkan tulang-tulang daripada isinya. Memang sedap ikan sungai
cuma perlu berhati-hati dengan tulangnya. Ikan sungai berbeza berbanding ikan
laut. Ikan sungai tulang lebih banyak dan jika tidak berwaspada akan tercekik
jawabnya.
Ada yang dibelah belakang dan
dijemur untuk dijadikan ikan kering. Ikan sungai kering jika digoreng
garing-garing memang boleh menghabiskan seperiuk nasi. Sedap juga kalau dimakan
dengan pulut tanak.
Kaedah
kedua yang digunakan dengan cara mengebom. Bahan letupan ataupun bom yang
digunakan ‘hak kerajaan’ dibawa balik yakni diseludup oleh mereka yang bekerja
sebagai tentera. Bahan letupan yang dikenali sebagai ‘belacan’ akan di
campakkan ke lubuk-lubuk ikan antaranya lubuk Kuala Sisik Lantai serta gugusan lubuk-lubuk sepanjang Kampung Sisik Lantai iaitu Lubuk pokok
pisang, Lubuk Jawi, Lubuk Tok Jahaya atau mana saja tempat-tempat ikan
bersarang. Berdentum. Terbongkarlah isi lubuk, bercemperalah orang ramai
tunggang langgang berebutan menyauk dan menangkap ikan-ikan yang timbul
kepeningan dan kemabukan.
Wujud
juga saintis ataupun pakar bom di Sisik Lantai (siapakah saintis itu perlulah dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan negara. Tapi sekarang saintis tu dah letak jawatan....dah insaf). Hasil gabungan sodium, belerang
dan arang diisikan padat ke dalam batang besi. Seterusnya batang besi yang
padat dengan bahan letupan itu dibalut kemas-kemas dengan getah tayar motosikal.
Penuh hati-hati sebab bahan letupan dalam besi memang sensitif pada geseran dan
sedikit percikkan api boleh menyebabkan
ianya meletup.
Mujurlah sepanjang aktiviti
membuat bom itu berjalan tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini terjadi.
Mentol lampu picit yang di pecah sedikit
kacanya disambung pada wayar kemudian dimasukkan untuk dijadikan bahan peledak.
Wayar itu kemudiannya akan di lekatkan pada bateri sekali gus meledakkan bom
tersebut.
Dengan
kepakaran yang ada, pantang musim kemarau maka berdentumlah setiap lubuk, berkemutihlah ikan-ikan timbul
ke permukaan bagaikan bunga air dan ramai-ramai turun menangkap umpama satu
pesta. Begitu jugalah pantang ada batang
besi pastikan akan disonglap untuk di jadikan bom. Tak kira besi papan tanda
atau besi apa pun yang bersesuaian. Terlepas pandangan mata orang ianya akan di
tanggung ke rumah saintis. Dipotong, di pateri untuk dijadikan kelongsong bom.
Menuba
dan mengebom adalah kaedah bagi ‘menyerang’ kawasan lubuk-lubuk yang dalam.
Tetapi bagi kawasan-kawasan yang cetek akan di serang mengunakan senapang
tembak ikan. Senapang tembak ikan diperbuat daripada kayu dan besi yang di
tajamkan dibahagian depan dan dibuat ‘wet’ bagi menyucuk badan ikan. Besi itu
dilancarkan menggunakan getah terebe.
Dengan
senapang tembak ikan, cermin dan tali penyucuk untuk menyucuk ikan, habis
segenap kawasan yang mempunyai
tunggul-tunggul kayu diselam, digeledah. Ikan teroboi, pucuk pisang,
temperas, ikan kaloi, ikan patung dan udang galah akan menjadi habuan. Itu pun
bergantung kepada kecekapan dan daya tahan nafas yang tinggi barulah boleh
mendapat habuan yang baik.
Bagi
diri aku sekadar tunggul-tunggul kayu dikawasan cetek bolehlah aku ‘takluki’ .
kalau tempat yang dalam memang aku surrender. Biasanya tempat yang jadi tumpuan
aku dengan geng-geng aku sekadar tunggul-tunggul kayu dibawah-bawah rimbunan
pokok teberau. Di kawasan-kawasan yang airnya separas pinggang. Satu lagi tempat tumpuan kami iaitu ‘lubuk
kereta’. Hairan bin ajaib juga bagaimana kereta jenis Opel boleh berada dalam
sungai. Tersadai di tepi pokok teberau di hujung tanah Tok Chik Dahaman. Tak kisah macamana dia boleh ada di situ yang
kami tahu situlah tumpuan kami mencari ikan teroboi sebesar dua jari.
Tidak
ketinggalan juga memancing ikan seluang di kawasan ‘kok’ berhampiran pengkalan
Tok Jahaya. Kawasan ‘kok’ ini sebenarnya kawasan parit ataupun permukaan
terjahan air dari parit yang membawa segala air dari pekan Kuala Ketil. Parit
yang memanjang merentasi kampong dari Pekan Kuala Ketil. Parit yang menjadi
saluran pembuangan air dari pekan Kuala Ketil.
Parit yang juga sentiasa
mencetuskan kontrovesi antara Ropiman dengan pihak Majlis Daerah Baling.
Kontrovesi yang timbul akibat parit ini tidak diselenggara dengan baik oleh
pihak Majlis Daerah dan sering saja tersumbat dengan sampah sarap sehingga
menyebabkan air melimpah ke tanah Ropiman dan menenggelamkan ladang tebunya
sehingga menyebabkan dia kerugian.
Parit
ini kedudukannya membelah tanah Ropiman terus menganjur diantara sempadan tanah Deben ataupun Tokngah
Buyung Alias dengan tanah Tok Jahaya dan terus ke sungai. kawasan ini terkenal
dengan panggilan ‘kok’ oleh penduduk kampong kami. bukan setakat air malahan
segala aneka jenis sampah sarap yang di
bawa air turut ‘menjunam’ di kawasan kok ini menyebabkan sekitar kawasan ini di
timbuni sampah sarap. Salah satu ‘egen’ penyebab sungai tercemar bermula dari
kawasan parit ini.
Selepas hujan lebat berhenti,
banyak anak-anak seluang berebut-rebut memagut sampah sarap yang hanyut dari
parit kok. Kesempatan inilah yang diambil untuk mencampakkan mata kail
berumpankan cacing. Lenguh tangan jadinya menyentak anak seluang tebal sisik
dan juga seluang tamban sebesar satu jari.
Kawasan kok ini juga menerima
pemancing setia iaitu Tok Lang Halimah dan Tok su Limah. Keduanya merupakan
pemancing setia di sekitar kawasan kok ini dengan batang pancing berkalakkan
‘kampul benang’ . Unik sekali sambil asap rokok Benson N Hedges berkelun ke udara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan