1 Muharram 1435 H bermakna bermulalah bulan pertama dalam
Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah
hari pertama bagi setiap tahun baru Islam yakni Kalendar Hijriah.
Manakala Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai
bulan Allah (Shahrullahi). Ini bermakna bulan Muharrram merupakan bulan kedua
mulia selepas bulan Ramadhan.
Ini berdasarkan daripada Al-Hassan Al-Basri Rahimahumullah :
“Sesungguhnya Allah s.w.t telah
membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram.
Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t
itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah
yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.
Selain
peristiwa besar iaitu penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota
Mekah ke Madinah pada Tahun 622 Masihi banyak lagi peristiwa yang berlaku
dalam bulan Muharram ini antaranya :
* 10 Muharram -
Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari
itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi
perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
Dan banyak lain peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam
bulan Muharram ini.
Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah ini juga, Surau Kampong Sisik Lantai mengadakan majlis bacaan doa Akhir
Tahun dan Doa Awal Tahun. Turut diadakan bacaan
yassin.
Dan buat pertama kalinya juga surau
ini memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada dua orang insan yang sangat berjasa
kepada surau kampong ini. Walaupun hadiah ataupun anugerah ini amatlah kecil
nilainya berbanding jasa bakti kedua mereka ini. Tetapi hadiah ini diharapkan dapat dijadikan ingatan dan kenangan buat keduanya sebagai tanda
sesungguhnya jasa
dan bakti mereka tidak pernah dilupakan oleh anak kariah kampong Sisik Lantai
ini.
Penerima pertama hadiah Maal Hijrah ini
di berikan kepada Tn. Hj. Din bin Daud
dimana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab sehingga terujudnya sebuah
surau di kampong Sisik Lantai ini. Beliau juga amat banyak memainkan peranan
dalam menghidupkan aktiviti surau dengan
pelbagai program keagamaan seperti kuliah-kuliah agama, meraikan hari kebesaran
islam dan pelbagai lagi program-program pengimarahan.
Jaafar Nordin mewakili Tn. Hj. Din b. Daud
yang tidak dapat hadir
Hajah Aminah binti Malim @ Toksu
menerima hadiah
Selain itu juga beliau menjadi orang
utama yang mengepalai setiap majlis bacaan-bacaan yasin, majlis tahlil, majlis
doa selamat baik di surau ataupun dirumah-rumah anak kariah surau kampong Sisik Lantai ini.
Bukan sahaja jasanya sebagai Imam di surau ini, jasa
beliau juga amat besar terhadap kampong Sisik Lantai ini amnya yang mana beliau
merupakan Pengerusi JKKK bagi Kampung Sisik Lantai ini.
Sementara penerima kedua pula Pn. Hajah Aminah binti Malim atau lebih
dikenali sebagai Toksu Minah tidak kurang besar jasanya kepada surau kampong ini.
Dengan ilmu yang ada serta kesabaran yang tinggi beliau mengajar anak-anak kampong mengenal huruf Alif Ba Ta
hingga seterusnya dapat membaca ayat-ayat suci al-quran dengan lancarnya.
Selain itu juga biar pun hujan, biar
pun ribut, biar pun petir sabung menyabung keadaan surau akan tetap bersih dan kemas.
Sejadah akan terhampar rapi setiap kali tibanya waktu sembahyang. Tahi cicak
tidak kelihatan diatas lantai. Surau bagaikan rumah kedua bagi beliau. Tidak
pernah duduk diam dan Sentiasa sibuk membantu setiap kali ada majlis-majlis di
surau.
Walaupun kini kudratnya semakin terbatas
namun ingatan dan kecintaannya Toksu Minah terhadap surau ini tetap kuat dan
utuh.
Ini
merupakan pertama kali anugerah atau hadiah seumpama ini diberikan sempena Maal
Hijrah ini dan insyaallah anugerah seperti ini akan diteruskan lagi di tahun-tahun
hadapan dan akan diberikan kepada mereka-mereka yang banyak berjasa dalam
membangunkan surau dan kampong ini amnya.
Walaupun hadiah tidak seberapa
nilainya namun ini adalah tanda terima kasih atas jasa yang ditaburkan dan
sesungguhnya ianya akan dikenang sentiasa oleh anak kariah kampong ini.
.