Selasa, 5 November 2013

Sambutan Maal Hijrah 1435 H pada 04/11/2013

            1 Muharram 1435 H bermakna bermulalah  bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam yakni Kalendar Hijriah.

              Manakala Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (Shahrullahi). Ini bermakna bulan Muharrram merupakan bulan kedua mulia selepas bulan Ramadhan.

Ini berdasarkan daripada Al-Hassan Al-Basri Rahimahumullah : 
Sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

       Selain peristiwa besar iaitu penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekah ke Madinah pada Tahun 622 Masihi banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam bulan Muharram ini antaranya :
                    *         10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa   penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

         *      Selain itu dalam bulan ini juga Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

          *      Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

          *      Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

Dan banyak lain peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Muharram ini.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah ini juga, Surau Kampong Sisik Lantai mengadakan majlis bacaan doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun. Turut diadakan bacaan yassin.



                                             Majlis di ketuai oleh Tn. Hj. Almunawar

Dan buat pertama kalinya juga surau ini memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada dua orang insan yang sangat berjasa kepada surau kampong ini. Walaupun hadiah ataupun anugerah ini amatlah kecil nilainya berbanding jasa bakti kedua mereka ini.  Tetapi hadiah ini diharapkan  dapat dijadikan  ingatan dan kenangan buat keduanya sebagai tanda  sesungguhnya   jasa dan bakti mereka tidak pernah dilupakan oleh anak kariah kampong Sisik Lantai ini.

Penerima pertama hadiah Maal Hijrah ini di berikan kepada Tn. Hj. Din bin Daud dimana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab sehingga terujudnya sebuah surau di kampong Sisik Lantai ini. Beliau juga amat banyak memainkan peranan dalam menghidupkan aktiviti surau  dengan pelbagai program keagamaan seperti kuliah-kuliah agama, meraikan hari kebesaran islam dan pelbagai lagi program-program pengimarahan.


Jaafar Nordin mewakili Tn. Hj. Din b. Daud
yang tidak dapat hadir

Hajah Aminah binti Malim @ Toksu 
menerima hadiah

Selain itu juga beliau menjadi orang utama yang mengepalai setiap majlis bacaan-bacaan yasin, majlis tahlil, majlis doa selamat baik di surau ataupun dirumah-rumah anak kariah surau kampong Sisik Lantai ini.

Bukan sahaja jasanya sebagai Imam di surau ini, jasa beliau juga amat besar terhadap kampong Sisik Lantai ini amnya yang mana beliau merupakan Pengerusi JKKK bagi Kampung Sisik Lantai ini.

Sementara penerima kedua pula Pn. Hajah Aminah binti Malim atau lebih dikenali sebagai Toksu Minah tidak kurang besar jasanya kepada surau kampong ini. Dengan ilmu yang ada serta kesabaran yang tinggi beliau mengajar  anak-anak kampong mengenal huruf Alif Ba Ta hingga seterusnya dapat membaca ayat-ayat suci al-quran dengan lancarnya.

Selain itu juga biar pun hujan, biar pun ribut, biar pun petir sabung menyabung  keadaan surau akan tetap bersih dan kemas. Sejadah akan terhampar rapi setiap kali tibanya waktu sembahyang. Tahi cicak tidak kelihatan diatas lantai. Surau bagaikan rumah kedua bagi beliau. Tidak pernah duduk diam dan Sentiasa sibuk membantu setiap kali ada majlis-majlis di surau.

Walaupun kini kudratnya semakin terbatas namun ingatan dan kecintaannya Toksu Minah terhadap surau ini tetap kuat dan utuh.

            Ini merupakan pertama kali anugerah atau hadiah seumpama ini diberikan sempena Maal Hijrah ini dan insyaallah anugerah seperti ini akan diteruskan lagi di tahun-tahun hadapan dan akan diberikan kepada mereka-mereka yang banyak berjasa dalam membangunkan surau dan kampong ini amnya.

            Walaupun hadiah tidak seberapa nilainya namun ini adalah tanda terima kasih atas jasa yang ditaburkan dan sesungguhnya ianya akan dikenang sentiasa oleh anak kariah kampong ini.
 .

Rabu, 23 Oktober 2013

Al-Fatihah buat Allahyarham Manan (Manan pomen) Kg. Kubang Hong

Seorang penduduk kampong Kubang Hong iaitu En. Manan ataupun lebih dikenali sebagai Manan pomen telah kembali ke rahmatullah pada 23/10/2013. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Abdul Halim, Sg. Petani.

            Allahyarham cukup dikenali dikalangan pemilik kereta yang mendapatkan khidmat beliau untuk pembaikpulih. Dengan ketiadaan Allahyarham bermakna Kuala Ketil ini kehilangan seorang mekanik atau pun pomen melayu.

             Walaupun Allahyarham penduduk Kampung Kubang Hong namun hubungan antara Kubang Hong dan Sisik Lantai terjalin bagaikan kampong yang bersaudara dan ketiadaan Allahyarham tetap dirasai oleh penduduk Kampung Sisik lantai.

            Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan semoga rohnya tenang bertemu dengan pencipta dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.

-

Barisan Umno Bahagian Baling 2013

Tanggal 19/10/2013 maka selesailah sudah pemilihan UMNO di peringkat Bahagian Baling dan bertempat di Komplek Rakan Muda terjawablah sudah siapa yang meneraju Umno Bahagian Baling bagi penggal 2013.

        Seperti yang dijangkakan Dato’ Abdul Azeez Rahim di 'mahkota' kan oleh perwakilan bagi mengemudi dan mengepalai dengan memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Baling setelah bersaing dengan Dato’ Azmi Che Hussin ADUN bayu. Manakala bagi jawatan Timbalan menyaksikan YB Harun Aziz berjaya mendapat tempat hati para perwakilan  sekaligus menobatkan beliau sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian.

        Di atas pentas dewan Komplek Rakan Muda itu juga menyaksikan jawatan Naib ketua Bahagian menjadi milik  bekas Ketua Pemuda iaitu Khairul Azhar bin Abdullah setelah bertarung 3 penjuru.

       Antara yang menjadi 'penentu' kepada  barisan kepimpinan ini termasuklah perwakilan dari Kg. Sisik Lantai ini iaitu :

                       1.   Ketua Cawangan       :             Mohd. Zakre bin Bakar
                       2.   Ketua Pemuda           :             Shaironinnas bin Yaakub
                       3.   Ketua Wanita             :             Siti Hejah binti Abu Hassan
                       4.   Ketua Puteri               :             Rasida binti Rakidin
                       5.   Perwakilan 1              :             Tn. Hj. Din bin Daud
                       6.   Perwakilan 2              :             Tn. Hj. Almunawar bin Md Noor
                       7.   Perwakilan 3              :             Mohamad bin Din

          Kalah menang merupakan warna warni pertandingan dan semua harus bersatu semula di dalam bahtera yang sama untuk sama-sama melaksanakan agenda demi memajukan rakyat Daerah Baling ini seterusnya menyusun strategi bagi menghadapi PRU 14 nanti. Umno Cawangan Kg. Sisik Lantai menyokong penuh barisan kepimpinan ini.

                Keputusan Jawatankuasa Umno Bahagian Baling :-

                        1.       Ketua Bahagian         :                Dato’ Abdul Azeez bin Abdul Rahim   
                        2.       Tim. Ketua Bahagian  :               Harun bin Aziz  
                        3.       Naib Ketua Bahagian :               Khairul Azhar bin Abdullah 
                        4.       Ketua Pemuda           :               Mohd. Noor bin Mohd. Amin
                        5.       Naib Ketua Pemuda   :               Dato’ Sabri bin Dato’ Hj. Zakaria 
                        6.       Ketua Wanita             :               Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim
                        7.       Ketua Puteri               :               Mas Ermieyati Samsudin
    
                        8.       Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian :

1.       Mohd. Bakhari
2.       Fakhrurazi bin Abdul Majid
3.       Mohd. Azmi Salleh
4.       Hj. Saari Hussain
5.       Mohd. Zamri Yaakob
6.       Mohd. Taufik Yaacob
7.       Raman Shariff
8.       Dato’ Azwan bin Dato’ Zainol
9.       Mohd. Subhi
10.   Mat Rozi Abdul Hamid
11.   IR Abdul Manap
12.   Syed Alias bin Syed Omar
13.   Idris Hj. Abdullah
14.   Mokhtar bin Saidin
15.   Mohd. Shukri Hussin
16.   Harif Fazilah
17.   Ramli Man
18.   Noor Azman
19.   Zamri Othman



Barisan Umno Bahagian Baling




Ahad, 20 Oktober 2013

Banjir Kilat Berpunca Dari Parit Longkang Yang Tersumbat

Hujan lebat yang turun sejak dua tiga hari yang lalu telah menyebabkan paras air sungai naik. Akibat daripada itu kampong Sisik Lantai turut dilanda banjir kilat iaitu di kawasan yang bersempadanan dengan Kampung Kubang Hong.


         Punca banjir kilat dikesan berlaku akibat sistem longkang yang tidak lancar. Longkang yang mengalirkan air dari pekan Kuala Ketil menganjur masuk melalui kampong terus ke sungai. Namun penyelenggaraan parit berada ditahap yang amat-amat mendukacitakan oleh pihak yang terlibat.





               Sampah-sarap yang pelbagai jenis memenuhi dan menyesakkan pintu air yang turun ke sungai. Ini menyebabkan ianya tersumbat dan menyebabkan  air melimpah maka berlakunya banjir kilat. Banjir kilat ini memberi masalah kepada keluarga yang mendiami kawasan tersebut iaitu keluarga Ibrahim bin Ganjil, Ismail bin Elias, Daud bin Ganjil dan Said yang mana mereka terkandas apabila kenderaan seperti kereta dan motosikal tidak sempat di bawa keluar.



Sampah sarap tersumbat di pintu keluar air

                Banjir kilat ini boleh dihindarkan sekiranya penyelenggaraan longkang dilakukan berjadual oleh pihak berkenaan. Pengurusan sampah sarap yang teratur akan menjadikan saliran longkang jadi lancar dan tidak akan tersumbat. Malangnya pihak yang berkenaan dilihat kurang perihatin kepada masalah ini walaupun ianya bukanlah satu masalah baru kerana sebelum ini aduan demi aduan telah dibuat.

                Parit longkang ini dibina bagi memudahkan penduduk Pekan Kuala Ketil tetapi yang menjadi mangsanya ialah penduduk kampong. Ini amat tidak adil dan amat mendukacitakan penduduk Sisik Lantai.



Selasa, 16 Julai 2013

Ramadan 1424 H....Silalah bertamu

  Alhamdulillah…..ramadan datang lagi dan Alhamdulillah juga tahun ini kita terus diberikan kesempatan dan dalam kesihatan yang baik daripada Allah swt untuk ‘mengutip’ sebanyak mungkin pahala yang ‘bertebaran’ dan 'bertaburan' disepanjang bulan Ramadan ini. 

Alhamdulillah juga surau Kg Sisik Lantai dipenuhi dengan anak-anak kampung yang berkumpul mengerjakan solat terawih. Paling membanggakan majoriti jemaah ramai dikalangan anak-anak muda. Pun begitu golongan pertengahan dan golongan tua tidak juga terkecuali meramaikan surau dan bersama mencari pahala solat terawih.

     Namun kehadiran anak muda dilihat membawa satu arus perubahan dan sekali gus mengubah persepsi orang ramai bahawa anak muda ‘taik kuda’. Ini sesuatu yang membanggakan. Namun diharapkan ianya tidaklah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Malam pertama kedua dan ketiga surau dipenuhi hingga mendatangkan kerisauan takut-takut rasuk surau patah dek kerana tak dapat nak menampung jumlah jemaah yang ramai. Selepas pada itu akan beransur berkurangan dan bila menjelang malam-malam ke belasan atau puluhan yang tinggal tercongok  ‘pelanggan biasa’ yakni jemaah tetap surau saja.

 Apa pun kita harapkan ianya tidak akan terjadi dan kita harapkan surau kita akan kekal meriah dengan laungan selawat sehingga ke malam terakhir Ramadan. Dan apa yang lebih kita harapkan iaitu surau kita yang meriah dan penuh seperti sekarang  ini akan membawa ke malam-malam biasa yakni malam-malam selepas Ramadan berlalu meninggalkan kita nanti.

       Pada  tahun ini surau kampung ini amat bertuah sekali kerana solat terawih diimamkan oleh Ustaz Ariff salah seorang pelajar Kolej Insaniah.  Alhamdulillah tempiasan daripada ujudnya sebuah kolej universiti  Islam iaitu Kolej Universiti Insaniah yang berada di Kuala Ketil ini dapat dirasakan oleh penduduk Kg. Sisik Lantai ini. Ini salah satu rahmat dan nikmat yang tidak ternilai harganya yang dikurniakan oleh Allah swt kepada penduduk Sisik Lantai ini.

     Dalam mengerjakan ibadat, tuntutan hidup juga tetap perlu diteruskan. Peluang yang ada tetap direbut oleh anak muda kampung untuk mencari pendapatan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


bazar ramadan Kuala Ketil

Ramai dikalangan anak muda kampung yang bergelar ‘saudagar’  dalam bulan Ramadan ini dengan ‘berdagang’ di bazar Ramadan. Ada yang berdagang aneka minuman, kuih muih, ayam golek dan sebagainya.


       Ramadan bulan yang memberi banyak syafaat. Bulan untuk umat islam berlumba-lumba membuat amal ibadat disamping itu juga bulan orang berlumba-lumba mengejar rezeki. Bukanlah menjadi satu tegahan tetapi keduanya harus seimbang. Yang penting keduanya harus berteraskan ibadat.

      Tidak salah berlumba berniaga tetapi nawaitu itu yang maha penting bukanlah kesempatan yang kita ambil sempena Ramadan ini. Dalam kerja buat kita yakni berniaga biarlah dalam keikhlasan. Barang dagangan seperti makanan baik lauk pauk, kuih-muih dan sebagainya biarlah disediakan sebaiknya bukanlah disediakan secara ‘halai balai’. Jangan terkurang manis, terlajak masin. Ada yang kalau dilihat dari segi rupa memang nampak ‘sedap’ ( dalam keadaan puasa apa saja nampak sedap) tetapi bila dibeli rasanya..hampeh.

Jangan kita mengambil duit orang secara mudah. Kita kena sedar setiap ringgit yang kita ambil dari pelanggan terhasil dari titik peluh mereka yang mereka usahakan secara halal dan bersusah payah. Ada yang menoreh, kerja kontrak dan sebagainya. Jerit  perih mereka dapatkan duit perlu juga kita fikirkan. Jangan fikirkan keuntungan kita semata-mata.

Biarlah kita berada dalam situasi ‘menang menang’ . Makanan kita sediakan sedap dan pelanggan pula berpuas hati mengeluarkan duit. Jangan sampai pelanggan menyumpah seranah dirumah akibat makanan yang kita sediakan cuma ‘indah khabar dari rupa’.

Bagi para peniaga sebenarnya selain mendapat keuntungan, pahala juga dapat dikutip. Bak kata pepatah orang putih ‘ kill two birds with one stone’. Semua ini bergantung pada niat dan kerja buat kita. 

 Kalau kita memasang niat ‘berdagang’ barang makanan bagi membantu orang-orang yang sibuk berkerja dan  tidak mempunyai masa untuk menyediakan juadah berbuka.  Ditambah dengan makanan yang kita sediakan itu sedap dan enak serta tidak ‘halai balai’..insyaallah selain mendapat pulangan duit malah ianya akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah swt atas nawaitu kita itu..insyaallah. 

                   

Isnin, 13 Mei 2013

PERKUKUHKAN KEMBALI JALINAN PERMUAFAKATAN SESAMA KITA SELEPAS PRU13 MENUTUP TIRAI


                  Pilihanraya umum sudah pun berlalu, pemenangnya sudahpun kita ketahui.  'Kapal-Kapal selam' sudah kembali ke laut. 'Jet-jet' sudah terbang. 'Lembu-lembu' sudah masuk kandang. 'Roket' sudah terbang ke bulan. ' Kati' sudahpun kembali ke pasar untuk menimbang sayur.

           Perang-perang dingin , perang-perang saraf sesama kita terutama yang berlainan ideologi dan fahaman haruslah ditamatkan segera.  Lima tahun dari sekarang kita turun bertempur kembali dalam PRU 14. Itu pun jika umur kita panjang dan diizinkan oleh Allah. Sebenarnya di Kuala Ketil ini kedudukan kita seri 1 – 1. Bagi DUN kekal milik PAS dan Parlimen pula milik BN. Jadi apa yang hendak kita bertelagah lagi. Kita seri.

        Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini rapatkan kembali kedudukan jalinan muafakat dan sillaturrahim sesama kita dalam membangun dan membawa halatuju kampung kita ke arah yang seiring dengan arus pembangunan semasa. Kita ketepi soal fahaman dan ideologi masing-masing. Dalam jangka masa 5 tahun ini kita tumpukan pada kampung kita. Sama-sama kita bangunkan. Sama-sama kita aturkan program-program yang mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada seisi kampung.

            Alhamdulillah peranan anak muda kampung ini dilihat amat positif. Rasa kecintaan terhadap kampung begitu tinggi ditunjukkan. Ini dibuktikan dengan sikap keperihatinan anak-anak muda yang dizahirkan baik dari segi kerja-kerja menjayakan kenduri kahwin, gotong-royong, kematian, imarah surau.  Peranan anak muda dilihat amat menonjol sekali.

          Sudah sepatutnya golongan muda memainkan peranan dalam membangunkan kampung ini. Kita tidak seharusnya membiarkan kampung kita terus ‘lesu’ dan ‘usang’. Kita harus membangunkan ‘keceriaan’ kampung supaya penduduk kampung dapat hidup dalam suhu yang gembira dan harmoni. Kalau bukan kita-kita ini siapa lagi?.

       Pun begitu bukanlah hendak kita katakan bahawa golongan tua tidak memainkan peranan yang sepatutnya. Bukan kita hendak nafikan penglibatan mereka dalam pembangunan kampung ini. Peranan mereka  juga besar. Tanpa usaha mereka tentunya kampung kita tidak akan berada di tahap ini.  Tetapi eloklah dikatakan tiba masanya giliran kaum muda yang mengorak langkah ke depan.

         Bukan kita hendak ‘membuang’ atau mengenetepikan orang tua-tua. Mereka-mereka tetap diperlukan. Pengalaman mereka tetap diperlukan sebagai pemerhati dan juga mentor kepada golongan muda. Sekiranya halatuju yang dibawa oleh golongan muda kabur atau tersasar, tunjuk ajar daripada mereka tetap diperlukan. Golongan tua dan dan muda harus saling lengkap-melengkapi demi kemajuan kampung kita yang tercinta.

             Dalam soal sebegini pengkritik tidak seharusnya terlalu lantang. Umumnya kita ketahui dimana-mana saja kampung pastinya ujud pengkritik yang meluahkan rasa serba tidak kena terhadap itu dan terhadap ini atas apa yang kita lakukan. Itu sudah lumrah. Cuma  para pengkritik diminta biarlah mengkritik dalam saluran yang betul. Supaya segala kritikan dapat diambil dan dijadikan panduan agar ‘perjalanan’ kampung dapat diperbaiki.  Kritikan biarlah ke arah membina dan bukannya kritikan bagi ‘membunuh’. Dan saluran kritikan biarlah betul. Bukannya berdegar-degar di kedai-kedai kopi.  

              Permasalahan kampung jangan di ‘canang’ ke dunia luar. Sama-sama kita selesaikan. Yang tidak tahu, diberitahu oleh orang yang tahu. Yang tidak pandai diajar oleh yang lebih pandai. Tidak kena jika orang yang pandai itu memegang kayu memukul ‘canang’  dil luar kampung mempertikai kelemahan orang itu, Kelemahan orang ini. Orang sebegitu wajar ditembak dengan ‘senapang gajah’ ataupun dihantar tinggal di ‘pulau’.

         Tentu kita semua tidak mahu melihat kampung kita terus ‘lesu’. Sebagai anak kampung bukanlah ‘sunat’ tetapi ‘wajib’. Wajib kita bangunkan kampung kita. Wajib kita sama-sama bersatu atas nama kesepakatan.  Kita susun semula perancangan ke arah ‘menghidupkan’ kembali kampung kita. Memberi ‘nafas’ baru kepada kampung kita. Untuk itu amatlah diharapkan kerjasama dan sokongan penduduk kampung  bagi memudahkan kampung ini di ‘ceriakan’.

              Ini kampung kita. Sama-sama kita bangunkan. Sama-sama kita jaga. Sama-sama kita utuhkan lagi semangat kejiranan, sama-sama kita perkukuhkan lagi  jalinan permuafakatan dan kerjasama. Sama-sama hati kuman kita lapah, hati gajah kita cicah. Bulat air kerana pembentung…bulat manusia kerana muafakat. .

               Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 2, "..dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan".
              
           Kepada sesiapa saja yang bakal meneraju kampung ini. Kita terima dengan terbuka dan sokongan penuh diberikan. Diharapkan agenda ini akan diteruskan olehnya.

Sabtu, 11 Mei 2013

TAHNIAH! BARISAN NASIONAL



             Demam pilhanraya sudah pun berlalu pergi. Keputusan siapa yang bakal meneraju tampok pemerintahan Negara sudah pun diketahui. Alhamdulilllah rakyat masih lagi menginginkan Barisan Nasional menjadi peneraju Negara dengan memberi mandat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai PM  walaupun pihak Pakatan Rakyat membuat desas desus yang kuat bahawa kali ini arus perubahan ataupun refomasi bakal berlaku dimana kerajaan BN akan tumbang dan akan bermula era pemerintahan Pakatan Rakyat. Namun ternyata nasib tidak menyebelahi mereka. Mungkin ada hikmat yang perlu kita rungkaikan kenapa tuhan masih pelihara Negara ini daripada jatuh ke tangan PR.


               Bagi penduduk kampung Sisik Lantai kekalahan calon BN iaitu Saudara Mohd. Khairul Azhar bin Abdullah amat mendukacitakan. Walau bagaimanapun penduduk Sisik Lantai tetap memberikan sokongan padu kepada saudara Khairul Azhar.  Ini terbukti apabila peti undi kampung Sisik Lantai iaitu di Bangunan MDB Kuala Ketil Barisan Nasional menang di kedua-dua saluran. Ini tandanya sokongan yang jitu diberikan kepada BN terutama kepada saudara Khairul Azhar. Cuma nasib tidak menyebelahi beliau.

            Kekalahan saudara Khairul memang mendukacitakan tetapi dukacita itu terubat dengan kemenangan Dato Azeez Rahim dalam merampas kembali Parlimen Baling. Dan yang lebih bermakna lagi apabila Negeri Kedah ini kembali dibawah kekuasaan BN. Tahniah kepada semua yang Berjaya. 


                 Plihanraya sudah berlalu.  Peneraju Negara sudah ditentukan oleh rakyat. Harapan agar semua dapat menerima apa segala bentuk keputusan. Tidak perlulah mempertikaikan kredibiliti SPR dalam menjalankan urusan pengundian yang paling utama terima keputusan rakyat. Semua ini adalah kehendak  rakyat. Rakyat tahu siapa yang berhak memerintah Negara. Hormatilah keputusan rakyat.

             Langkah kita yang seterusnya sekarang, kita rapatkan kembali ikatan perpaduan dan eratkan kembali sillaturrahim. Kalau sebelum ini kita berlainan parti dan bertungkus-lumus untuk memastikan parti masing-masing berjaya sehingga timbul sedikit ketegangan sesama kita sekampung. Kini masa itu sudah berlalu kita eratkan kembali hubungan dan bersama-sama memberi tumpuan kepada pembangunan kampung kita. Semoga kampung kita terus dapat menikmati pembangunan dan hubungan masyarakat terus terjalin erat dan semoga Negeri Kedah terus maju jaya dibawah kepimpinan Menteri Besar yang baru iaitu Datuk Mukriz bin Tun Mahathir..