Isnin, 13 Mei 2013

PERKUKUHKAN KEMBALI JALINAN PERMUAFAKATAN SESAMA KITA SELEPAS PRU13 MENUTUP TIRAI


                  Pilihanraya umum sudah pun berlalu, pemenangnya sudahpun kita ketahui.  'Kapal-Kapal selam' sudah kembali ke laut. 'Jet-jet' sudah terbang. 'Lembu-lembu' sudah masuk kandang. 'Roket' sudah terbang ke bulan. ' Kati' sudahpun kembali ke pasar untuk menimbang sayur.

           Perang-perang dingin , perang-perang saraf sesama kita terutama yang berlainan ideologi dan fahaman haruslah ditamatkan segera.  Lima tahun dari sekarang kita turun bertempur kembali dalam PRU 14. Itu pun jika umur kita panjang dan diizinkan oleh Allah. Sebenarnya di Kuala Ketil ini kedudukan kita seri 1 – 1. Bagi DUN kekal milik PAS dan Parlimen pula milik BN. Jadi apa yang hendak kita bertelagah lagi. Kita seri.

        Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini rapatkan kembali kedudukan jalinan muafakat dan sillaturrahim sesama kita dalam membangun dan membawa halatuju kampung kita ke arah yang seiring dengan arus pembangunan semasa. Kita ketepi soal fahaman dan ideologi masing-masing. Dalam jangka masa 5 tahun ini kita tumpukan pada kampung kita. Sama-sama kita bangunkan. Sama-sama kita aturkan program-program yang mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada seisi kampung.

            Alhamdulillah peranan anak muda kampung ini dilihat amat positif. Rasa kecintaan terhadap kampung begitu tinggi ditunjukkan. Ini dibuktikan dengan sikap keperihatinan anak-anak muda yang dizahirkan baik dari segi kerja-kerja menjayakan kenduri kahwin, gotong-royong, kematian, imarah surau.  Peranan anak muda dilihat amat menonjol sekali.

          Sudah sepatutnya golongan muda memainkan peranan dalam membangunkan kampung ini. Kita tidak seharusnya membiarkan kampung kita terus ‘lesu’ dan ‘usang’. Kita harus membangunkan ‘keceriaan’ kampung supaya penduduk kampung dapat hidup dalam suhu yang gembira dan harmoni. Kalau bukan kita-kita ini siapa lagi?.

       Pun begitu bukanlah hendak kita katakan bahawa golongan tua tidak memainkan peranan yang sepatutnya. Bukan kita hendak nafikan penglibatan mereka dalam pembangunan kampung ini. Peranan mereka  juga besar. Tanpa usaha mereka tentunya kampung kita tidak akan berada di tahap ini.  Tetapi eloklah dikatakan tiba masanya giliran kaum muda yang mengorak langkah ke depan.

         Bukan kita hendak ‘membuang’ atau mengenetepikan orang tua-tua. Mereka-mereka tetap diperlukan. Pengalaman mereka tetap diperlukan sebagai pemerhati dan juga mentor kepada golongan muda. Sekiranya halatuju yang dibawa oleh golongan muda kabur atau tersasar, tunjuk ajar daripada mereka tetap diperlukan. Golongan tua dan dan muda harus saling lengkap-melengkapi demi kemajuan kampung kita yang tercinta.

             Dalam soal sebegini pengkritik tidak seharusnya terlalu lantang. Umumnya kita ketahui dimana-mana saja kampung pastinya ujud pengkritik yang meluahkan rasa serba tidak kena terhadap itu dan terhadap ini atas apa yang kita lakukan. Itu sudah lumrah. Cuma  para pengkritik diminta biarlah mengkritik dalam saluran yang betul. Supaya segala kritikan dapat diambil dan dijadikan panduan agar ‘perjalanan’ kampung dapat diperbaiki.  Kritikan biarlah ke arah membina dan bukannya kritikan bagi ‘membunuh’. Dan saluran kritikan biarlah betul. Bukannya berdegar-degar di kedai-kedai kopi.  

              Permasalahan kampung jangan di ‘canang’ ke dunia luar. Sama-sama kita selesaikan. Yang tidak tahu, diberitahu oleh orang yang tahu. Yang tidak pandai diajar oleh yang lebih pandai. Tidak kena jika orang yang pandai itu memegang kayu memukul ‘canang’  dil luar kampung mempertikai kelemahan orang itu, Kelemahan orang ini. Orang sebegitu wajar ditembak dengan ‘senapang gajah’ ataupun dihantar tinggal di ‘pulau’.

         Tentu kita semua tidak mahu melihat kampung kita terus ‘lesu’. Sebagai anak kampung bukanlah ‘sunat’ tetapi ‘wajib’. Wajib kita bangunkan kampung kita. Wajib kita sama-sama bersatu atas nama kesepakatan.  Kita susun semula perancangan ke arah ‘menghidupkan’ kembali kampung kita. Memberi ‘nafas’ baru kepada kampung kita. Untuk itu amatlah diharapkan kerjasama dan sokongan penduduk kampung  bagi memudahkan kampung ini di ‘ceriakan’.

              Ini kampung kita. Sama-sama kita bangunkan. Sama-sama kita jaga. Sama-sama kita utuhkan lagi semangat kejiranan, sama-sama kita perkukuhkan lagi  jalinan permuafakatan dan kerjasama. Sama-sama hati kuman kita lapah, hati gajah kita cicah. Bulat air kerana pembentung…bulat manusia kerana muafakat. .

               Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 2, "..dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan".
              
           Kepada sesiapa saja yang bakal meneraju kampung ini. Kita terima dengan terbuka dan sokongan penuh diberikan. Diharapkan agenda ini akan diteruskan olehnya.

Sabtu, 11 Mei 2013

TAHNIAH! BARISAN NASIONAL



             Demam pilhanraya sudah pun berlalu pergi. Keputusan siapa yang bakal meneraju tampok pemerintahan Negara sudah pun diketahui. Alhamdulilllah rakyat masih lagi menginginkan Barisan Nasional menjadi peneraju Negara dengan memberi mandat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai PM  walaupun pihak Pakatan Rakyat membuat desas desus yang kuat bahawa kali ini arus perubahan ataupun refomasi bakal berlaku dimana kerajaan BN akan tumbang dan akan bermula era pemerintahan Pakatan Rakyat. Namun ternyata nasib tidak menyebelahi mereka. Mungkin ada hikmat yang perlu kita rungkaikan kenapa tuhan masih pelihara Negara ini daripada jatuh ke tangan PR.


               Bagi penduduk kampung Sisik Lantai kekalahan calon BN iaitu Saudara Mohd. Khairul Azhar bin Abdullah amat mendukacitakan. Walau bagaimanapun penduduk Sisik Lantai tetap memberikan sokongan padu kepada saudara Khairul Azhar.  Ini terbukti apabila peti undi kampung Sisik Lantai iaitu di Bangunan MDB Kuala Ketil Barisan Nasional menang di kedua-dua saluran. Ini tandanya sokongan yang jitu diberikan kepada BN terutama kepada saudara Khairul Azhar. Cuma nasib tidak menyebelahi beliau.

            Kekalahan saudara Khairul memang mendukacitakan tetapi dukacita itu terubat dengan kemenangan Dato Azeez Rahim dalam merampas kembali Parlimen Baling. Dan yang lebih bermakna lagi apabila Negeri Kedah ini kembali dibawah kekuasaan BN. Tahniah kepada semua yang Berjaya. 


                 Plihanraya sudah berlalu.  Peneraju Negara sudah ditentukan oleh rakyat. Harapan agar semua dapat menerima apa segala bentuk keputusan. Tidak perlulah mempertikaikan kredibiliti SPR dalam menjalankan urusan pengundian yang paling utama terima keputusan rakyat. Semua ini adalah kehendak  rakyat. Rakyat tahu siapa yang berhak memerintah Negara. Hormatilah keputusan rakyat.

             Langkah kita yang seterusnya sekarang, kita rapatkan kembali ikatan perpaduan dan eratkan kembali sillaturrahim. Kalau sebelum ini kita berlainan parti dan bertungkus-lumus untuk memastikan parti masing-masing berjaya sehingga timbul sedikit ketegangan sesama kita sekampung. Kini masa itu sudah berlalu kita eratkan kembali hubungan dan bersama-sama memberi tumpuan kepada pembangunan kampung kita. Semoga kampung kita terus dapat menikmati pembangunan dan hubungan masyarakat terus terjalin erat dan semoga Negeri Kedah terus maju jaya dibawah kepimpinan Menteri Besar yang baru iaitu Datuk Mukriz bin Tun Mahathir..